Sepatutnya hari ini saya berbuka puasa dengan seorang rakan di sebuah hotel berdekatan dengan tempat kerja saya, namun perancangan ditukar kerana beliau tidak dapat hadir pada saat-saat akhir.
Jam menunjukkan pukul 7:05 malam sewaktu saya melangkah keluar dari pejabat, berjalan kaki menuju ke Masjid Asy-Syakirin KLCC yang terletak tidak jauh dari tempat kerja saya. Tiba di sana hanya dengan 5 minit berjalan kaki, saya langsung ke meja pembahagian juadah berbuka namun dimaklumkan oleh petugas di sana bahawa semua makanan telah habis diedar. Tidak tinggal sebungkus pun. Saya perasan, lebih kurang 7-8 orang yang seperti saya hanya mendapat sebotol air mineral untuk berbuka. Tak mengapalah, ini dugaan biasa di bulan yang mulia ini.
Apabila azan dilaungkan, saya meneguk air mineral dan terus berwudhuk, berniat untuk dirikan solat sunat tatkala hadirin yang lain masih menjamu selera. Namun ada hamba Allah memanggil saya menunjukkan di atas meja terdapat semangkuk bubur lambuk untuk saya. Alhamdulillah, rezeki saya.
Selesai menjamah bubur tersebut, saya pun bawa mangkuk yang sudah kosong itu untuk dibuang ke dalam plastik sampah yang disediakan. Sewaktu menghampiri plastik sampah itulah saya perasan sebungkus nasi berada di atas timbunan sampah lain. Saya pegang dan belek, Allahu rabbi...langsung tidak dibuka! Tidak disentuh. Tidak dijamah. Dibuang begitu saja.
Saya angkat bungkusan nasi itu, membukanya dan memeriksa makanan di dalamnya. Saya pun duduk bersila. Bergenang air mata memikirkan hal ini. Geram. Marah. Saya amat kecewa. Saya kesat air mata yang hampir menitis.
Saban hari saya membaca artikel dikongsi di Facebook ini akan keadaan saudara-saudara kita di negara bergolak, berbuka dengan hanya tangisan dan air mata. Sengsara dalam Ramadhan yang mulia.
Dan kita di sini tergamak membuang makanan yang mungkin kerana tidak kena dengan selera kita. Ya Allah, apalah yang telah kita pelajari dari Ramadhan ini? Apakah langsung tidak terdidik diri kita dalam bulan yang mulia ini?
Jika Ramadhan tidak dapat mendidik kita, apakah bulan-bulan yang lain mampu mendidik kita?
Saya makan hingga habis setiap butir nasi dalam bungkusan yang saya kutip dari longgokan sampah tadi. Mengunyah dengan rasa sayu. Makanan ini amat berharga buat mereka yang amat perlu. Namun menjadi sampah pada orang kita yang tidak bersyukur, tidak tahu malu. Tidak mengenang dek untung dengan rezeki yang Allah dah curahkan selama ini. Barangkali jika sudah berhujan peluru dan bom di bumi ini, mungkin waktu itu semuanya baru hendak dihargai. Allahu....nauzubillah!
Saya boleh tinggalkan sahaja bungkusan nasi itu di dalam longgokan sampah namun rasa bersalah untuk bersubahat membiarkan rezeki pemberian Allah dibazirkan begitu sahaja. Tidak!
Allahu.. jujur saya katakan Ramadhan kali ini begitu banyak cabaran yang saya lihat dan rasa. Bagai tiada semangat dan suasana Ramadhan seperti tahun-tahun sebelumnya. Hingga ke hari ini, masih ramai yang sibuk mempamerkan 'kebijaksanaannya' dalam bidang politik, mempamerkan kebolehan luarbiasa berbelanja untuk persiapan raya, masih sibuk dengan hal-hal yang boleh saja dibincang di bulan yang lain tetapi tetap memilih Ramadhan. Langsung tidak diberi keistimewaan pada bulan yang sememangnya istimewa ini.
Agaknya bagaimanalah kita menyambut Ramadhan untuk tahun hadapan pula?...masih adakah Ramadhan untuk kita sebenarnya? Jika ada sekalipun, adakah begini cara kita memanfaatkannya?
Comments