top of page
Cari
Writer's pictureFaisal Abu Hassan

Doa kejayaan yang paling mahal buat kita bukanlah doa dari ulama tetapi...


Pernah dahulu waktu saya aktif bermain muzik berat, ramai orang terdekat yang menentang minat saya. Bermacam kata-kata negatif dilempar. Sinis dan menyindir pedas. Ditambah pula waktu tu saya baru sahaja pulang dari mengerjakan umrah di Tanah Suci. Selamba saya disindir "Dah buat umrah ni bawa la bertaubat tinggalkan muzik syaitan tu".


Tak apalah. Saya teruskan juga perjuangan bersama rakan-rakan hingga kami dapat rakamkan EP dan diundang membuat persembahan di Immortal Bar, Bangkok Thailand. Saya buktikan bakat main muzik saya bukan sekadar di studio tetapi saya dah capai lebih dari itu. Itu cerita sewaktu aktif bermain muzik berat sekitar tahun 2008 hingga 2012 yang lalu.


Begitu juga apabila saya mula minat sukan permotoran. Dilempar kata sinis dan sindiran. Kali ini saya sudah alah. Lali dengan kata-kata yang hampir sama. "Kau berlumba ni nak terjun gaung ke? Mesti tak sayang nyawa dah ni. Ntah berapa ribu la habiskan duit gaji kat kereta". Tak apalah. Saya teruskan juga perjuangan dengan pasukan berlumba di Litar F1 Sepang hingga pernah menjadi naib juara perlumbaan bertaraf Asia pada tahun 2019; dan sambil itu saya asah bakat saya dalam bidang pengelolaan dan penganjuran perlumbaan.


Tipulah kalau saya kata saya tidak terkesan langsung dengan kata-kata negatif seperti contoh tadi. Namun saya beruntung sebenarnya kerana ada insan yang menyokong apa jua minat saya. Dan sokongan inilah yang mendorong saya untuk teruskan minat hingga ke peringkat yang lebih jauh, lebih tinggi. Hanya ini sahaja cara untuk saya tutup mulut mereka yang sinis selama ini.


Mama sayalah insan yang selalu menyokong saya. Padahal dia langsung tidak suka muzik yang saya suka. Dan dia langsung tidak suka cara saya memandu. Tetapi dia tetap setuju dengan minat saya. Dia tidak melarang, bahkan menyokong pula.


Dan kekuatan itu bertambah selepas kahwin. Kali ini datang dari isteri. Sama seperti mama, tidak suka muzik saya dan tidak suka saya memandu laju namun tetap menyokong saya dari belakang. Cuma sokongannya datang bersama leteran dan cabaran. Itu sahaja. Dia akan berleter jika saya membazir dan dia akan mencabar supaya saya dapat buat pencapaian yang lebih baik setiap kali berlumba.


Bila dikenang kembali, sebenarnya saya tidak perlukan seluruh dunia untuk menyokong saya. Cukup hanya ibu dan isteri dipihak saya. Doa restu mereka amatlah bermakna buat saya.


Kini saya semakin bertuah kerana keluarga dan rakan-rakan juga menyokong minat saya. Jadi ke mana sahaja saya berada, mereka pasti saya bawa bersama dalam hati. Saya tak pernah lagi rasa sunyi, sendiri dalam apa jua cabaran yang dihadapi.


Saya jarang menang setiap kali berlumba tetapi saya juga jarang mengalah. Mungkin itu sahaja bakat yang saya ada = tidak mudah menyerah kalah. Berjuang dengan apa yang ada, seadanya.


Belum berjaya itu biasa, cuma jangan berhenti berusaha. Kita tidak dikira tewas selagi kita belum berputus asa.


Dalam sukan permotoran, bukan secepat mana kita dapat naik podium menjadi ukuran tetapi selama mana kita mampu terus berlumba dan terus bertahan.


Begitu juga dalam hidup. Bukan secepat mana kita dapat naik ke atas, dapat capai pelbagai kejayaan tetapi selama mana kita mampu bertahan untuk mara ke hadapan, selama mana kita mampu hadapi cabaran.


Susah macam mana sekalipun, redah aje dahulu...biarpun dengan langkah yang paling perlahan.


Buat rakan-rakan yang sedang buntu dan terhimpit dengan dugaan, jangan sesekali mengalah. Carilah restu dari keluarga terutama sekali restu dari ibu.


Doa kejayaan yang paling mahal buat kita bukanlah doa dari ulama tetapi doa seorang ibu buat seorang anak.


Andai tidak berjaya sekalipun dalam apa yang diusahakan, semoga bahagia di akhirat berkat doa dari ibu, keluarga dan rakan-rakan.


InsyaAllah~

60 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua

Nak Cakap APA?

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page