Kisah Papa
- Faisal Abu Hassan
- 26 Jul
- 2 min membaca

Waktu itu musim pilihan raya. Beberapa hari sebelum hari membuang undi, Papa dan pasukannya ditugaskan untuk ke satu rumah panjang di Sibu. Rumah panjang itu dijadikan pusat membuang undi. Tugasan utama adalah untuk memastikan rumah panjang tersebut benar-benar selamat, selain dari menjadi kunjungan rutin kebajikan antara Polis dan masyarakat Iban di situ.
Ketibaan mereka disambut Tuai Rumah namun wajahnya tampak gelisah. Katanya, beberapa hari sebelum itu anak-anak buahnya terlihat kelibat komunis tidak jauh dari kawasan mereka. Berpandukan maklumat awal tersebut, incas pasukan Papa dan beberapa anggota membuat rondaan di kawasan yang dimaksudkan.Benar, ada kesan-kesan di situ walau cuba dihapuskan. Dari pengamatan, kawasan tersebut telah ditinggalkan lebih 3 hari. Namun mereka tetap waspada akan jerangkap samar yang mungkin ditinggalkan bersama. Komunis kalau menghampiri kawasan rumah panjang, mereka sedang mencari makanan atau sedang mengintip pasukan keselamatan. Dan acap kali kawasan yang mereka buat camp sementara, pasti ditemui jerangkap samar.
Setelah memastikan kawasan itu benar-benar selamat, kawan ayah saya seorang pemuda Melayu Sarawak berjalan perlahan menuju ke satu pohon yang sudah tumbang lalu duduk pada dahan pohon tersebut. Sambil menggoyangkan tubuh bagai menaiki buaian, dia mengajak ayah saya berkali-kali berbuai bersamanya.
“Abu, mari sitok. Sitok nyaman.”
DAMM!!!
Tiba-tiba bunyi tembakan memecah kesunyian dan kelihatan sahabatnya itu rebah ke tanah. Tanpa berlengah, Papa dan semua anggota terus mengambil posisi dengan senjata masing-masing. Salah seorang anggota menjerit “Atas! Atas!”
Tidak jauh dari kawasan mereka mengambil posisi, terdapat tanah tinggi. Komunis berada di kawasan tinggi manakala mereka terperangkap di kawasan rendah. Papa dapat mengesan kedudukan musuh yang bersembunyi di sebalik batang balak. Papa dan pasukannya menghujankan peluru ke arah musuh serta melambung beberapa butir bom tangan.7 orang komunis, 4 daripadanya perempuan mati di situ.
Di pasukan Papa, sahabatnya yang berbuai di dahan tadi gugur akibat ditembak di kepala. Seorang anggota yang lain cedera ditembak di kaki.Sedang mereka memeriksa mayat-mayat komunis, tiba-tiba bunyi bom meletup disertai teriakan dari salah seorang anggotanya. Dia terpijak periuk api tidak jauh dari mayat komunis tersebut.
Papa kembali ke rumah panjang dan meminta bantuan dari Tuai Rumah. Semua mayat komunis, jenazah anggota polis dan anggota yang cedera dibawa ke rumah panjang dengan bantuan anak-anak muda Iban.
*****
Ini adalah salah satu dari semua peristiwa yang Papa pernah alami ketika bertugas selama 10 tahun di Sarawak. Dari cerita-cerita beliau, tidak kurang 3 kawan rapatnya terkorban ketika bertugas dan ramai lagi kenalan sepasukan yang turut gugur sepanjang 10 tahun Papa berkhidmat di sana.
Di akhir-akhir hayat Papa, Papa makin kerap bercerita kisahnya sebagai anggota PPH di Sarawak dahulu. Rindu pada rakan-rakan sepasukan. Rindu pada keluarga angkatnya. Rindu pada Sarawak bagai negeri kelahiran sendiri padahal dia dilahirkan di Pulau Pinang. Rindu untuk berbakti kepada tanah air tercinta.
Dan saya mewarisi rindu tersebut. Pernah melanjutkan pengajian di UNIMAS; pilihan pertama yang saya sengaja letak dalam borang UPU. Rindu pada makanan yang enak, rindu pada masyarakat setempat yang harmoni hingga saya dan isteri buat keputusan beli sebuah rumah di sana. Hingga saya pernah terfikir, kalau boleh saya nak bersara dan habiskan sisa hidup di Sarawak.
*****
Hari ini 26 Jun hari kelahiran Papa. Semoga Allah tempatkan arwah Papa dan sahabat-sahabat seperjuangannya bersama para solihin.
Komen