top of page
Cari
Writer's pictureFaisal Abu Hassan

Tangis Seorang Banduan

Saya berhenti seketika di sini untuk menulis peristiwa yang baru sahaja terjadi kepada saya beberapa jam yang lalu. Apa yang terjadi adalah ketentuan dari Allah SWT dan tidaklah terjadi sesuatu itu dengan sia-sia melainkan ada hikmah dan peringatan buat saya khususnya.


********************************


Saya pulang lewat dari pejabat seperti mana kelaziman. Cuma saya agak tergesa-gesa malam ini kerana saya akan memandu jauh ke Pantai Timur untuk pulang berjumpa isteri dan anak-anak kesayangan.


Dari pejabat, saya singgah di Stesen LRT Ampang Park untuk keluarkan wang dari ATM dan menambah nilai kad Touch-N-Go. Sedang saya berjalan, tiba-tiba saya disapa seorang lelaki yang agak tinggi, berpakaian kemas sambil menggalas beg; sedang berdiri di pintu masuk stesen LRT. Usai memberi salam dan berjabat tangan, dia perkenalkan diri bernama Haikal.


“Saya bekas banduan, baru sahaja dibebaskan dari Penjara ****** dua hari lepas. Maaf jika saya ganggu tuan”, katanya penuh tertib dan sopan dalam loghat Utara.


“Saya sebenarnya nak minta bantuan dari tuan, andai tuan sudi berikan saya sedikit wang untuk saya beli tiket bas pulang ke kampung saya di Sungai Petani, Kedah. Saya dah lama tak balik. Tapi kalau tuan tak dapat tolong saya tak apalah”, ujarnya lagi penuh pengharapan.


Saya katakan padanya, saya tidak punya wang jadi saya tidak dapat bantu dia. Kami bersalaman, saya meneruskan langkah dan sempat saya melihat dia melangkah perlahan meninggalkan stesen LRT. Saya pasti dia kecewa.


Saya tidak berbohong, sememangnya saya langsung tidak punya wang ketika tu. Dan itulah sebabnya saya ke Stesen LRT Ampang; untuk keluarkan wang. Saya teruskan niat dan usai menambah nilai kad TNG, terbit pula rasa bersalah dalam hati kerana tidak membantu Haikal tadi. Iyalah, saya sedang dalam perjalanan hendak pulang ke pangkuan keluarga saya. Sedangkan Haikal pula terpaksa tebalkan muka meminta bantuan kewangan dari sesiapa sahaja yang lalu-lalang untuk pulang ke pangkuan keluarganya.


Saya melangkah keluar dengan harapan Haikal masih berada di kawasan sekitar. Alhamdulillah, dia sedang mundar-mandir tidak jauh dari tempat kereta saya diparkir. Saya berlari anak ke arah Haikal sambil memanggil namanya.


“Haikal, hang ambillah duit ni. Hang guna la untuk balik jumpa keluarga hang.”

“Kalau hang belum makan, hang jalan kaki pi sana. Ada kedai mamak tang tu. Boleh la hang makan dulu.”


Tak semena-mena dia menangis teresak-esak. Ah, sudah!


Walaupun tidak ramai orang lalu lalang waktu itu namun beberapa pejalan kaki lain mula memandang ke arah kami kerana tangisan Haikal memang jelas dan menarik perhatian sesiapa yang lalu.


Berkali-kali dia goncang tangan bersalam dan peluk saya sambil tidak henti-henti mengucapkan terima kasih.


“Abang tak kenai pun saya ni. Awat abang baik sangat nak tolong saya? Kawan-kawan, sedara mara saya sendiri pun semua pakat tak mau tolong saya. Abang tak kenai pun Haikal. Awat abang nak tolong saya?” katanya sambil menangis.


“Saya rindu sangat kat anak saya. Saya hari-hari berdoa nak jumpa sangat anak saya tu, bang!"


"Syukur Alhamdulillah! Allah dah makbulkan doa saya dapat jumpa orang yang boleh tolong saya malam ni.”


Bab ni saya kalah. Saya dah mula sebak. Haikal rindukan anak rupanya. Allahu...


Rindu tidak dapat bertemu anak ni, hanya Allah yang tahu perasaan itu. Apa yang kami rasa sebenarnya sama biarpun punca berjauhan dari anak-anak itu berbeza. Patutlah bekas banduan ini tewas dengan airmata. Alangkan saya yang dapat jumpa anak-anak setiap hujung minggu ini pun merasa rindu yang amat sangat, inikan pula Haikal yang terpisah dari anaknya kerana dia dipenjara.


“Hang pi makan dulu na. Dah siap makan hang pi la beli tiket. Moga Allah permudahkan hang balik kampung. Moga Allah murahkan rezeki hang, Haikal”


Haikal bersetuju dengan saranan saya. Kami bersalaman, berpelukan sambil saya memberi kata semangat padanya. Dia tidak henti-henti mengucapkan terima kasih.


Kami berpisah dan saya tetap di situ memerhatikan Haikal melangkah pergi hingga kelibatnya hilang dari pandangan mata. Dan sepanjang waktu itu juga tidak henti-henti saya doakan untuk Haikal dalam hati saya.


"Ya Allah, peliharalah hambaMu ini. Bimbinglah dia. Kuatkan hatinya. Tunaikan hajatnya, Ya Allah…"


********************************


Apabila saya beritahu seseorang bahawa saya akan memandu ke Terengganu malam ini, dia bertanya:


“Tak penat ke?”

“Lelaki kena berkorban”, jawab saya.


Halangan apa sekalipun, saya rela tempuh, rela susahkan diri agar saya dapat bersama Elsa dan Fahri. Namun halangan saya tidak sebesar Haikal; membuatkan saya bersyukur dengan apa yang saya ada hari ini.


Kadang-kadang tu terfikir juga, mungkin Allah aturkan 'pertemuan' begini kerana saya mulai lupa dengan apa yang telah saya ada. Mungkin terlintas di hati saya rungut dan keluh atas apa yang masih belum diperolehi sedangkan DIA lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya.


Doakan semoga saya dan Haikal selamat tiba ke destinasi kami masing-masing nanti.


7 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua

댓글


Post: Blog2_Post
bottom of page