Ini Haji Sanusi Bin Haji Asin. Beliau merupakan datuk kepada isteri saya (dari sebelah ibu). Gambar ini diambil oleh isteri saya ketika kami bertandang ke rumahnya di Sungai Besar, Selangor pada Syawal ke 3.
Saya tidak pasti berapa usia beliau, terlupa langsung untuk bertanya. Yang sempat saya tanya tentang dirinya ada beberapa perkara berkaitan asal beliau.
Arwah ayahnya bernama Haji Asin Bin Mat Tahir. Berasal dari Daerah Keluak, Banjarmasin, Kalimantan Selatan Indonesia. Ketika beliau remaja, mereka sekeluarga berhijrah dari Banjarmasin ke Tanah Melayu melalui jalan laut. Hijrah mereka dari Banjarmasin ke Sumatera, terus ke Singapura. Dari Singapura mereka menuju ke Teluk Anson melalui jalan darat. Beliau masih ingat tahun itu apabila mereka tiba di Teluk Anson, beliau mendengar pengumuman di radio bahawa Tentera Jepun baru tiba di Singapura. Saya kira mereka sekeluarga berhijrah sekitar tahun 1942 ketika Jepun menyerang Tanah Melayu (Teluk Anson adalah nama lama Teluk Intan).
Beliau bersekolah di sekolah melayu di Sungai Besar. Tamat persekolahan, beliau hanya melakukan kerja-kerja kampung; berkebun dan mengerjakan sawah padi. Hobi beliau adalah menunggang motorsikal. Beliau pernah menunggang motorsikal dari Sungai Besar hingga ke Felda Bukit Goh Kuantan semata-mata untuk menziarahi saudaranya di sana. Bayangkan pada waktu itu lebuhraya masih belum dibina. Pernah beberapa kali motorsikalnya kehabisan minyak dan rosak dalam perjalanan.
Motorsikalnya itu baru sahaja dijual dan beliau kini membeli sebuah motorsikal yang baru menggantikan yang lama. Beliau tidak lagi menunggang untuk jarak jauh; sekadar berulang-alik ke kebun, surau dan ke Pekan Sungai Besar sesekali. Walaupun tidak lagi berkembara jauh, namun beliau masih cergas, ingatan masih baik dan beliau masih fasih berbahasa Banjar sehingga kini.
InsyaAllah akan ada sambungan kisah beliau..
Comments