Kita kerapkali membaca kes-kes penipuan berlaku melalui panggilan telefon kononnya dari pihak bank, polis mahupun mahkamah. Pemanggil yang menyamar ini biasanya sudahpun memiliki beberapa maklumat umum berkaitan mangsa dan mereka akan cuba memerangkap mangsa untuk berikan maklumat yang lebih sulit seperti nombor kredit kad, nombor kad pengenalan dan lain-lain.
Pihak berkuasa telahpun mengeluarkan amaran dan tips untuk elakkan diri dari menjadi mangsa penipuan ini. Malah di media sosial juga ramai yang berkongsi tips dan aplikasi yang membolehkan kita mengenalpasti nombor-nombor scammer ini. Saya sendiri telahpun muat-turun dan install aplikasi Truecaller di telefon bimbit saya.
Tengahari ini saya dihubungi nombor yang tidak dikenali. dan aplikasi Truecaller menghantar notifikasi nombor ini dilaporkan spam. Mulanya saya tidak jawab panggilan ini, namun saya dihubungi kali kedua. Panggilan kali kedua ini saya jawab.
Pemanggil memulakan perbualan dengan bertanya soalan : bolehkah saya bercakap dengan Encik Faisal?
Sebelum saya jawab soalan itu, saya terfikir cara lebih baik untuk menjawab soalan tersebut:
'Menjawab Soalan Dengan Soalan' - sama seperti Super Spontan!
Lebih kurang begini perbualan kami:
Pemanggil : Hello, boleh saya bercakap dengan Encik Faisal?
Saya : Siapa yang bercakap ni?
Pemanggil : Nama saya Aslam dari .......(saya tak dapat ingat nama syarikat yang disebut kerana pemanggil menyebutnya dengan laju dan tidak mahu ulang menyebutnya apabila saya pinta dia berbuat demikian)
Saya : Kenapa call saya?
Pemanggil : Saya perlukan bantuan Encik untuk dapatkan maklumat berkaitan (beliau menyebut satu nama). Encik kenal (nama itu diulang)?
Saya: Kenapa nak tahu maklumat pasal…? (saya ulang nama yang disebut itu)
Pemanggil : Saya nak bertanya pasal pinjaman yang dia pernah buat dengan pihak bank
Saya : Bank mana?
Pemanggil : Saya tak boleh bagitau, Encik. Ini sulit
Saya : Kalau sulit, kenapa tanya saya?
Pemanggil : Sebab Bank yang bagi nombor Encik untuk dihubungi
Saya : Awak dari bank mana?
Pemanggil : Saya bukan dari bank, Encik. Kami ni wakil dari Bank
Saya : Bank mana yang wakilkan awak untuk hubungi saya?
Pemanggil : Saya tak boleh bagitau Encik. Itu maklumat sulit
Saya : Saya tak boleh bagi maklumat sulit sesiapa pada awak sebab awak bukan pihak bank. Awak wakil dari bank. Saya tak pernah beri keizinan mana-mana bank untuk share maklumat saya kepada pihak ketiga
Pemanggil : Saya bukan nak maklumat tentang diri Encik
Saya : Awak telefon saya. Ini nombor saya. Maklumat tentang saya. Mana awak dapat nombor telefon saya? Dari bank mana?
Pemanggil : Saya tak boleh bagitau Encik. Itu sulit
Dan begitulah perbualan hingga pemanggil sendiri yang tamatkan panggilan. Saya tak beri apa-apa maklumat kepada dia, sebaliknya dia pula yang bagi maklumat berikut kepada saya.
Nama pemanggil : Aslam No telefon : 014 649 9923 No Pejabat : 03-2716 6354
Saya akan periksa kesahihan nombor dan maklumat ini terlebih dahulu dengan bantuan rakan-rakan di agensi berkaitan. Buat masa ini saya tidak dapat sahkan sama ada nombor ini scam atau tidak.
Namun saya suka kongsikan tips jika anda dihubungi nombor yang tidak dikenali:
- JANGAN cepat menjawab soalan yang ditanya - JANGAN iakan apa-apa maklumat yang disebut pemanggil biarpun maklumat yang disebut itu memang betul - JAWAB SOALAN DENGAN SOALAN
Terima kasih kerana sudi membaca dan berhati-hati jika dihubungi nombor yang tidak dikenali.
Comments