Dalam setiap perkara yang kita lakukan, ada perintah Allah bersamanya. Melaksanakan perintah Allah itu ada caranya dan sebaik-baik cara adalah dengan mengikut sunnah Rasulullah SAW.
PRU baru-baru ini jelas menunjukkan ada dikalangan kita yang lantang dalam menyatakan pendapat. Mudah melabel orang lain. Tanpa berlapik, terus menghentam orang yang tidak sependapat. Menyindir dan mengeluarkan kata-kata sentap. Kononnya dia tidak mahu jadi munafik. Dia tidak suka bermuka-muka. Dia bukan seorang yang hipokrit. Dia hanya menegakkan kebenaran. Katanya...
Menegakkan kebenaran itu adalah Sunnah Rasulullah SAW yang wajib kita ikuti. Namun bagaimana cara Rasulullah SAW menegakkan kebenaran? Saya bukan ahlinya maka bukan saya yang sepatutnya huraikan. Rujuklah kepada mereka yang ahli namun saya tahu tuan-tuan sudah tahu jawapannya, bukan?
Apa guna ilmu tinggi, imej hebat, hidup bagai penuh syariat dan menggunakan gambar ulama di mukabuku tetapi yang keluar dari mulut kita, status yang kita tulis itu sentiasa menyakiti hati orang lain; kononnya kita tetap pendirian dalam menyatakan kebenaran?
Kebenaran itu sepatutnya disampaikan dengan baik penuh hikmah agar menyentuh hati dan akal...bukannya menerbit benci amarah lalu menjauhkan orang dari kebenaran.
Kalau bukan cara Rasullullah SAW yang kita ikut, kalau bukan Sunnah Nabi yang kita buat, maka sunnah siapa yang kita ikut?
Sama-samalah kita perbaiki diri...
Comments