top of page
Cari
Writer's pictureFaisal Abu Hassan

Sudah ku tahu?


Suatu hari Imam Syafie keluar dari rumahnya lalu menaiki seekor unta. Dipertengahan jalan beliau telah ditahan sekumpulan pemuda untuk bertanyakan soalan.

Merekapun berkata “Wahai Imam, kami sedar kamu mempunyai ilmu yang banyak, warak dalam mengeluarkan kata-kata dan pendapat tetapi tolong jawab satu soalan. Soalan kami ialah berapakah jumlah kaki unta yang kamu sedang naiki sekarang?”

Imam Syafie turun dari untanya lalu membilang kaki unta satu persatu.

“Kaki unta yang aku naiki ini ada empat”.

Maka terkejutlah golongan pemuda tadi.

“Wahai Imam, untuk menjawab soalan seperti ini kamu tidak perlu turun dari unta. Dari ataspun kamu boleh menjawab soalan ini” kata pemuda-pemuda itu.


Jawab Imam Syafie “Tidak, aku tidak akan menjawab sesuatu soalan atau pertanyaan yang aku ragu-ragu dan was-was tentangnya. Aku turun dan aku kira kaki unta ini ada empat baru aku jawab kepada kamu kaki unta ini ada empat”.


*****************************************

Dari kisah Imam Syafie tadi, apakah Imam Syafie tidak tahu tentang bilangan kaki unta? Beliau bukan tidak tahu namun beliau tidak mahu menjawab dengan andaian. Beliau menjawab dengan kepastian dan kesahihan.


Namun berapa ramai pula dari kalangan kita apabila diajukan soalan atau diminta memberi pendapat, kita akan gunakan kaedah Imam Syafie ataupun kita lebih suka menggunakan andai dan pendapat kita sendiri?


Ramai dikalangan kita termasuk saya sendiri pada hari ini lebih suka bercakap, suka menulis, suka menyampaikan pendapat, suka mengkritik sesuatu menggunakan andaian sendiri sedangkan tidak punya ilmu dan pengetahuan luas tentangnya. Barangkali kita malu nak mengaku bahawa kita tidak tahu.


Padahal apabila kita menjawab sesuatu soalan dengan berkata “Maaf, saya tidak tahu” – itu sebenarnya membuka peluang kepada kita sendiri untuk belajar sesuatu dan menjadi tahu; dengan syarat disusulkan ayat begini :

“...tetapi berikan saya masa untuk belajar / cari / kaji agar dapat menjawab soalan itu”

Ayat susulan itu akan menjadi pendorong dan pencabar diri kita untuk menjadi tahu.


Kerana apabila kita menjawab “Saya sudah tahu” – kita hanya akan menutup peluang untuk belajar ilmu dan pengetahuan yang baru.


Lebih baik mengaku tidak tahu dari menyangka diri sudah tahu padahal sebenarnya memang tidak tahu apa-apa.


Semoga saya ingat pesan ini untuk diri saya sendiri.


*Gambar kenangan saya bersama ayah saya Abu Hassan Abu Bakar pada hari ulangtahun kelahiran beliau yang ke 68 semalam

0 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page