Saya makan malam sendirian di sini. Sudah kebiasaan. Restoran ini antara yang paling hampir dengan pejabat saya. Mudah sahaja melangkah ke mari dan memesan makanan yang saya ingini.
Sambil menunggu pesanan, saya memandang ke arah sebuah keluarga yang sedang makan di meja hadapan. Seorang lelaki dewasa, seorang perempuan dewasa dan dua remaja perempuan lingkungan usia belasan tahun, telah saya. Pemandangan yang biasa, tidak kira di mana. Mereka sedang menjamu selera bersama. Senyap tanpa perbualan. Makanan disuap dengan perlahan.
Tiada yang aneh, bukan? Senyap mereka itu kerana mereka tidak berbual sesama mereka. Suapan perlahan mereka itu kerana ada telefon pintar pada tangan mereka. Masing-masing lebih 'menikmati' apa yang terpapar pada skrin telefon dari menikmati juadah terhidang; jauh dari menikmati masa bersama yang terluang. Mereka mengabaikan terus ahli keluarga yang duduk bersama. Ayah, ibu dan anak-anak semua melakukan perkara yang sama sehingga habis makanan di atas meja.
Kita juga pernah begitu, bukan? Ajak kawan-kawan untuk keluar minum bersama, namun akhirnya masing-masing hanya duduk 'menonton' skrin telefon pintar sahaja.
Melihat kejadian sebentar tadi saya sedikit terkesan di hati dan mula bertanya pada diri sendiri :
Apakah selama ini kita yang menggunakan telefon pintar? Ataupun telefon pintar sebenarnya yang telah menggunakan kita?
Comments