Teringat masa di MSF Ahad lalu, Kak Zai tegur saya "Ajai ni asyik tersenyum aje"
Sebelum ini pun ramai rakan-rakan lain yang pernah menegur saya mudah tersenyum walau di mana saya berada dan tidak kira bila-bila masa. Mudah memberi senyuman kepada sesiapa sahaja walau baru pertama kali bersua. Sampaikan sahabat saya Daris Danial selalu mengusik saya suka buat iklan ubat gigi katanya.
Dahulu saya tidak begini. Carilah gambar-gambar zaman sekolah atau universiti, jarang ada gambar saya yang nampak gigi. Lelaki yang senyum tu tidak cool, pendapat saya pada waktu itu yang berjiwa metal konon.
Seingat saya, saya mula mudah mengukir senyuman setelah bernikah dengan isteri. Isteri saya murah dengan senyuman. Dan apabila dia senyum, nampak cantik di mata saya. Nampak segalanya serba sempurna. Namun hakikatnya saya tahu disebalik senyuman itu ada banyak rahsia yang dia tidak mahu orang lain tahu. Itulah isteri saya.
Dari situlah saya belajar mengukir senyuman. Dan disitulah juga saya mula perasan: setegang manapun suasana akan jadi aman, sepenat manapun diri akan terlupa pada lelah, seberat manapun ujian akan hadir kekuatan untuk redah...hanya dengan senyuman. Jika perbezaan pendapat dikongsi dengan senyuman, perbalahan dapat dielakkan. Jika rundingan perniagaan dibuat dengan senyuman, pelbagai peluang dapat dimeterai perjanjian. Jika pertolongan diberi dengan senyuman, kesusahan berat mana sekalipun boleh terasa ringan. Hebatnya senyuman.
Menjalani kehidupan hari demi hari, bukan semuanya indah seperti dalam mimpi. Hari kita mungkin biasa sahaja tetapi ada yang pada hari ini sedang merindui pemergian insan tersayang. Ada yang mungkin resah menghitung hari memikir kelangsungan hidup kerana bulan ini merupakan bulan terakhir bekerja di pejabat. Dan ada yang sedang sayu menatap wajah anak kesayangan yang lincah dan ceria kini terbaring di katil wad. Kita mungkin tak mampu membantu namun sekurang-kurangnya senyumlah pada mereka, moga dapat beri kekuatan dalam hati mereka untuk terus tabah. Biarpun takkan ringan beban di bahu namun mudah-mudahan hilanglah beban mereka di dalam hati. Biar kakinya penat melangkah, asalkan hatinya tetap gagah enggan menyerah.
Jika kita bertemu di mana-mana, senyumlah kepada saya. Saya pasti akan senyum kembali kepada anda. InsyaAllah 📷:)
*nota gambar:
Sedangkan kami DNF di MSF Round 2 pun saya masih mampu tersenyum riang siap melompat girang, bagaimana la agaknya kalau kami menang naik podium waktu itu, kan? Kredit untuk Cikgu Jai yang dipaksa ambil gambar ini berkali-kali hingga jadi
Comentários