top of page

Selipar Yang Hilang

  • Writer: Faisal Abu Hassan
    Faisal Abu Hassan
  • 31 Dis 2018
  • 2 min membaca

ree

Apalah yang hendak saya muhasabahkan pada malam ini andai hati belum memaafkan? Kepada siapa sebenarnya rasa kecewa ini? Kepada siapa sebenarnya saya marahkan?


Apa yang berlaku cuma ujian kecil Allah kepada kita. Kita berhak diuji. Kita hambaNya. Dan ujian begini tidaklah lain hanya salah satu cara Dia menzahirkan kasih sayangNya kepada kita. Itu yang cuba saya kata pada diri untuk memujuk hati agar melupakan kekecewaan atas peristiwa tadi.


Sewaktu memandu pulang dari pejabat, saya teringat peristiwa saya diuji ketika di Tanah Suci. Tidak terlalu aneh, sememangnya sudah kebiasaan bagi setiap orang yang pernah ke sana pasti akan membawa pulang kisah unik mereka sendiri. Saya juga tidak terkecuali. Inilah salah satu peristiwa yang masih segar dalam ingatan hingga ke hari ini.


Sewaktu di Masjidil Haram, saya mendapati pada setiap pintu masuk akan terdapat rak kasut yang besar dan banyak bilangannya. Itu normal, cuma ada sekali tu terlintas difikiran saya bagaimanalah orang sering mengatakan kasut dan selipar mudah hilang di Tanah Suci sedangkan kita boleh menyimpannya dengan selamat di rak yang tersedia? Agak mustahil untuk hilang, telah saya. Dan hanya kerana telahan itu barangkali, iman saya diuji.


Usai solat Subuh pada suatu hari di sana, saya menuju ke rak yang saya simpan selipar saya. Rak tersebut kosong. Ada orang telah mengambil selipar saya. Saya hanya berdiam dan tanpa berfikir apa-apa, berkaki ayam pulang ke hotel kediaman dari Masjidil Haram. Mujurlah jaraknya tidak terlalu jauh.


Sebelum masuk waktu Zohor pada hari yang sama, saya menyertai ayah dan pakcik-pakcik saya bergerak awal ke Masjidil Haram. Saya simpan selipar yang baru dibeli bersama dengan selipar ayah saya. Kami beriktiqaf dan melakukan tawaf hingga solat Asar dan bergerak pulang ke hotel hanya selepas solat. Sewaktu di rak kasut, didapati selipar saya telah hilang. Padahal selipar ayah saya dalam rak yang sama bagaikan tidak berusik. Saya pasrah berkaki ayam pulang ke hotel dan membeli selipar baru sekali lagi. Dan kali ini, selipar baru itu saya tanda dengan marker pen malah label jenamanya saya cabut bagi membezakan selipar saya dengan yang lain.


Saya ke Masjidil Haram untuk solat Maghrib, iktiqaf dan tawaf. Kali ini saya simpan selipar dalam beg kasut ayah saya. Kami berada di Masjidil Haram hingga selesai solat Isyak sebelum buat keputusan untuk bergerak pulang ke hotel. Dan kali ini selipar ketiga yang dibeli hilang juga. Beg ayah saya dibuka tetapi hanya selipar saya yang diambil. Di sekitar rak, terdapat banyak selipar lain sama pula jenama dengan selipar saya cuma tidak bertanda. Saya melangkah sugul pulang ke hotel. Beristighfar sepanjang waktu menyesali dengan apa yang telah berlaku. Silap saya.


Namun Allah bagaikan mahu menghiburkan hati saya. Sewaktu pulang melangkah berkaki ayam itu, saya lihat di hadapan, kiri- kanan malah di belakang saya semua jemaah lain rata-rata berkaki ayam seperti saya. Allahu, tergelak kecil saya waktu itu hingga ayah menegur saya namun saya tidak ceritakan kepadanya hinggalah kami pulang ke Malaysia.


Begitulah Allah menguji kita. Terpulang bagaimana kita mencari hikmah disebaliknya.


Bila teringat peristiwa ini, banyak pula peristiwa-peristiwa lain terimbas kembali. Allahu rabbi. Rindunya hati mahu ke Tanah Suci sekali lagi.


Selamat malam, sahabat-sahabat FB. Mudah-mudahan kita dapat berjaga untuk beribadah pada baki-baki terakhir Ramadhan ini. Assalamualaikum wbt.


(Tiada gambar diambil sewaktu selipar hilang di Masjidil Haram. Yang ada hanya gambar selipar kanak-kanak tersusun rapi di Masjid Asy-Syakirin KLCC tempohari)

 
 
 

Komen


Post: Blog2_Post

+60199499965

Subscribe Form

Thanks for submitting!

©2018 by Tahiyyad Terakhir. Proudly created with Wix.com

bottom of page