Dia dilahirkan normal namun sewaktu berumur 4 tahun, penjaganya di pusat jagaan mencadangkan agar saya dan isteri membawa Fahri berjumpa doktor pakar kanak-kanak kerana Fahri mula menunjukkan beberapa simptom autism. Antaranya 'speech delay', matanya tidak melihat kita sewaktu bercakap dan Fahri sukar menggunakan jari-jemari terutama untuk memegang pensel, sudu dan permainan yang kecil seperti blok Lego.
Dan dari pendapat beberapa doktor pakar yang ditemui, kesemuanya meminta saya untuk kurangkan 'screen time' Fahri di rumah. Malah ada doktor yang berterus-terang menyalahkan saya dan isteri kerana memperkenalkan smartphone kepada Fahri. Terkejut dan terkilan juga tetapi waktu itu saya hanya diam dan anggukkan kepala sahaja. Kita datang untuk minta pendapat dan saranan tetapi kita pula yang dipersalahkan. Tak mengapalah.
Pulang dari berjumpa doktor pakar tersebutlah saya nekad buat sedikit pencarian di internet. Saya baca pendapat doktor-doktor yang menggalakkan penggunakan smartphone untuk kanak-kanak autistik.
Sejujurnya saya sendiri kurang bersetuju anak-anak zaman sekarang dijauhkan dari smartphone. Menjauhkan smartphone dari anak-anak ibarat menjauhkan mereka dari teknologi. Sedangkan kita sendiri menggunakan smartphone untuk hampir semua tujuan: pekerjaan, perniagaan, pengiklanan, pendidikan atas talian dan lain-lain urusan seharian. Bahkan orang buta pun boleh menggunakan smartphone pada hari ini. Jadi amatlah pelik kita hendak jauhkan anak-anak dari menggunakan smartphone.
Namun begitu saya setuju bahawa anak-anak istimewa seperti Fahri ini memang perlukan bimbingan dalam menggunakan smartphone dan kita perlu bijak memilih aplikasi yang mampu membimbing mereka. Jangan dibiarkan mereka main smartphone tanpa pemantauan. Dan sewaktu membuat pencarian di internet, banyak sebenarnya aplikasi yang disarankan oleh pakar kanak-kanak untuk membantu anak-anak autistik bertutur, berfikir dan menyelesaikan masalah.
Terfikirkah kita untuk ajar anak-anak cara menggunakan Google Maps atau Waze? Aplikasi begini penting dalam membantu anak-anak autistik yang sukar bertutur untuk mencari lokasi dan jalan pulang ke rumah sendiri, contohnya. Untuk pertuturan pula, boleh dimulakan dengan Duolingo. Saya sendiri pun gunakan aplikasi ini untuk belajar asas Bahasa Arab. Dan dari beberapa artikel yang saya baca, permainan atau FPS game (First Person Shooter) seperti Roblox amatlah membantu perkembangan minda anak-anak dalam menyelesaikan masalah. Tahukah anda bahawa kajian beberapa universiti mendapati pelajar yang kerap bermain FPS game akan lebih cepat menyelesaikan soalan peperiksaan berbanding pelajar yang tidak bermain FPS game?
Alhamdulillah, setelah setahun saya dan isteri bimbing Fahri menggunakan smartphone dan laptop, Fahri sudah boleh menggunakan jari-jemari untuk menaip dan mengawal pergerakan karakter permainan baik di skrin kecil smartphone mahupun di paparan laptop. Sudah pandai menaip dan dia kini sudahpun boleh suapkan makanan sendiri menggunakan sudu. Kemahiran jari-jemarinya jauh lebih baik dari tahun sebelum ini.
Paling membanggakan saya, hari ini Fahri boleh berkomunikasi dengan sesiapa sahaja baik dalam Bahasa Melayu mahupun Bahasa Inggeris. Malah Fahri sudah boleh membaca dengan lancar dalam Bahasa Inggeris WALAUPUN dia masih belum boleh mengeja. Ini benar-benar mengejutkan saya. Membaca tanpa mengeja? Inilah kurniaan Allah SWT padanya. Dia juga sudah boleh membaca Iqra dan harapan saya mudah-mudahan dalam tahun 2022 ini Fahri dapat membaca Bahasa Melayu pula.
Sungguh tidak sabar rasanya nak bawa Fahri berjumpa kembali doktor pakar yang menyuruh kurangkan 'screen time' Fahri dan menyalahkan saya memberikan smartphone kepada Fahri sebelum ini. Bukan niat saya hendak membuktikan doktor pakar tersebut salah, saya cuma hendak beritahu ini kepada beliau:
If a child cannot learn in the way we teach, we must teach in the way a child can learn.
Happy birthday, Fahri. Daddy tidak dapat bersama Fahri pada hari istimewa ini. Doakan Daddy cepat sembuh ye. Daddy sayang Fahri.
Comments