Saya sudah punya akaun Youtube sejak Januari 2012 namun hanya pada Januari 2017 barulah saya mula muat naik video ke channel saya. Video pertama yang dimuat naik adalah video sahabat saya arwah Mohd Kamarul berlumba drag di Dato Sagor Perak. Video itu masih ada di channel saya hingga ke hari ini.
Sebelumnya, sering juga saya dan rakan-rakan bercakap tentang nak buat duit melalui Youtube namun tiada seorangpun dikalangan kami yang benar-benar tahu bagaimana caranya. Masing-masing hanya berhujah "kawan aku cakap kena buat itu, buat ini, dapat duit tiap bulan banyak itu ini bla bla bla". Hanya sekadar itu.
Lalu saya nekad mahu mencuba dan tidak mahu berhenti separuh jalan. Jemu dah dengan mendengar hujah "kawan aku kata". Asyik dengar hujah yang sama sahaja setiap kali bertanya. Sekarang saya hendak lalui sendiri biar sampai saya mampu buat pertimbangan berdasarkan pengalaman sendiri; bukan lagi dengan pengalaman orang lain.
Genre video di channel saya tiada pengkhususan, memang pelbagai. Sengaja saya tidak tetapkan genre yang tertentu. Channel saya lebih kepada perkongsian aktiviti hidup saya sehari-hari. Saya memang tidak mahu hidup terikat dengan rutin yang khusus semata-mata. Berpuluh tahun hidup, hanya buat benda yang sama - itu bukanlah saya.
Jadi video di channel saya boleh dikatakan menggambarkan kepelbagaian rencah dalam hidup saya setiap hari. Ada aktiviti sukan permotoran, ada waktu riadah bersama anak-anak dan keluarga, ada review kedai makan dan produk, ada perkongsian dan lain-lain.
Hidup seorang mukmin ini amat singkat di dunia dan setiap saat perlu diisi dengan aktiviti bermakna. Aktiviti yang menambah ilmu, menambah kenalan dan mendekatkan diri dengan sang Pencipta. Ada banyak jalan untuk kita kenal diri dan kenal tuhan, bergantung pada jalan mana yang kita jadikan pilihan. Kerana dalam setiap perkara yang kita lakukan, ada bersama perintah Allah yang wajib kita tunaikan.
"Tak tahu nak buat apa hari ini"
"Tak tahu nak buat apa hujung minggu ini"
"Tak tahu nak buat apa bila PKP ni"
Tiap kali saya dengar seseorang berkata seperti ini, saya merasa kasihan. Tak tahu nak buat apa? Benarkah? Aduhai..
Tidak terfikirkah untuk memanfaatkan detik hidup yang berbaki ini dengan menambah pengetahuan, perbaiki amalan atau menguasai sesuatu kemahiran?
Senaraikan sahaja apa lagi benda atau perkara yang kita belum cuba dalam seumur hidup ini. Bila kali terakhir kita belajar bahasa baharu? Apakah kemahiran baharu yang kita belum kuasai? Ada orang yang sebelum ini tidak pandai memasak namun dek kerana dia hanya mencuba, hari ini sudahpun boleh berniaga sambilan menambah pendapatan. Ini cuma satu contoh yang benar-benar terjadi pada seorang kenalan.
Jika difikir dengan mendalam, banyak sebenarnya yang kita belum kuasai dan belum tahu. Kita aje yang acah-acah guna alasan 'sibuk' dan 'tiada masa' untuk belajar benda baharu padahal kita sebenarnya malu. Malu apa ye bosku? Malu hendak mengaku diri kita ini TIDAK TAHU.
Saya teringat pesan seorang pensyarah sewaktu di universiti dahulu: Janganlah malu untuk mengaku diri tidak tahu, tetapi malulah apabila kita berpura-pura diri ini bagai serba pandai.
*****************
Ada perubahan jadual rupanya. Sesi dialog diawalkan ke jam 4 petang. Pertama kali dalam hidup saya dijemput menjadi ahli panel. Nak cakap apa pun saya tak tahu sebenarnya. Tawakkal ajelah
Comments