Pernahkah kita berada dalam satu ketika kita langsung tiada wang tunai walau sesen? Tak kisahlah sama ada kerana gaji telah habis dibelanjakan ataupun dompet kita hilang dari simpanan. Resah, bukan?
Bagaimana pula saat kita dapat langsaikan hutang kepada seseorang? Hutang yang selama ini dibayar secara ansuran akhirnya dapat dilunaskan sepenuhnya. Tenang, bukan?
Tanyalah kepada sesiapapun, tidak ada yang mahu hidup dalam keresahan. Semua mahukan rasa tenang dalam jalani kehidupan seharian. Tetapi bagaimana untuk merasa tenang?
Saya teringat kepada seorang sahabat yang saya mula-mula kenal pada tahun 2007. Hari pertama saya kenal dia, dia berniaga burger bagi menyara hidup. Gerai burger dibuka sekitar jam 6 petang dan ditutup paling lewat jam 2 pagi. Rutin setiap hari tanpa cuti. Tetapi tidak sampai 3 bulan selepas itu, gerainya dirampas kerana berniaga tanpa lesen. Dia 'jobless' tidak lama, tak sampai seminggu pun sebenarnya. Dia menjadi tukang masak pula di kantin salah satu asrama kediaman pelajar di Universiti Malaya. Namun tidak bertahan lama juga, dia tukar kerja jadi pemuzik jalanan di Bangsar. Dan begitulah keadaan beliau, kerja tidak pernah lama di setiap tempat. Dalam setahun, saya anggarkan dia bertukar kerja tidak kurang 10 kali. Dari memegang senduk kuali, bermain gitar di kaki lima, bekerja sebagai telemarketer di pejabat besar, jadi ejen insuran dan kad kredit hinggalah memegang spanar bekerja sebagai mekanik di bengkel kereta. Semuanya dia pernah buat.
Dan tidak silap saya, hari ini dia buka kedai game sambil menjadi guru tanpa tauliah mengajar anak-anak geladangan dan anak-anak miskin sekitar rumahnya dengan percuma! Ya, tuan-tuan. Percuma. Kanak-kanak ini kebanyakannya lingkungan usia 8-12 tahun. Datang ke kedainya untuk bermain game kerana tidak bersekolah. Jadi atas rasa belas, dia mengajar kanak-kanak ini secara percuma di kedai game beliau.
Dia bukanlah anak orang berada. Selalu sangat dia tunjuk dompetnya yang kosong langsung tiada duit sesen pun kepada saya. Tapi bagaimana dia dapat teruskan kehidupan seharian? Tambahan lagi, kini dia sudah berumahtangga dan punya anak-anak untuk dibesarkan. Bagaimana dia mudah sangat dapat tawaran bekerja walau ke mana sahaja dia pergi? Dan lebih pelik, bagaimana dia langsung tidak resah malah tenang jalani kehidupan seharian?
Rahsianya....Dia suka bersedekah dan paling tidak suka berhutang. Dua benda ini memang amat ketara pada dirinya. Sepanjang saya bersahabat dengan dia, tidak pernah sekalipun dia minta pinjam duit saya. Kalau ada sekalipun pun, dia cuma minta saya tolong bayarkan nasi yang dia makan di mamak, kemudian dia minta saya halalkan. Kali berikutnya apabila kami lepak bersama, dia pula yang belanja saya makan. Ganti balik yang saya bayarkan untuknya dahulu, katanya. Benar, setiap kali. Allahu...
Sedekahnya tidak ada tangguh, tidak ada ragu-ragu, tidak ada alasan. Itu yang saya masih belum mampu buat. Contoh mudah: apabila ada kanak-kanak datang hampiri meja makan kami sambil membawa kertas dan tabung derma, tidak kira la berapa wang yang dapat sahabat saya ini capai dari poket atau dompetnya, semua wang tersebut dia serahkan kepada kanak-kanak itu. Kesemua! Walaupun itu sahaja yang dia ada waktu itu.
Kalau saya, sudah pasti saya kira dahulu baki yang perlu saya tinggalkan untuk diri saya sebelum saya sedekah. Itu saya. Saya dhaif bab sedekah ni. Sangat berbeza dengan sahabat saya.
Dan apabila dia langsung tiada wang, tidak pula dia minta pinjam dari sesiapa. Kalau saya hulurkan duit untuk dia sekalipun, dia akan tanya : "Ni nak bayar zakat ke nak bagi pinjam? Kalau bayar zakat kat aku, aku ambil" - Selalu begitulah dia bertanya sambil seloroh dengan saya. Dia tidak mahu meminjam seboleh-bolehnya walaupun dalam waktu dia langsung tiada wang dan amat memerlukan. Dia tahu, apabila sudah meminjam maka wajib untuk dia membayar kembali. Tanggungjawab berat padanya, boleh mengundang gelisah kalau dia berhutang.
Berbeza pula dengan kebanyakan kita, sudahlah meminjam sesuka hati tanpa kerisauan, liat pula nak melunaskan pinjaman. Apabila dituntut hutang, kita pulak yang lebih-lebih melenting. Hinggakan ke hutang PTPTN pun kita tuntut agar dimansuhkan. Menindas kononnya. Waktu terima wang dahulu, rasa tertindas tak? Seronok berbelanja, bukan?
Hendak merasa tenang itu sebenarnya mudah. Cuma perlu didik hati kita bahawa apa yang kita ada pada hari ini, semuanya milik Allah. Allah yang punya, bukan kita. Jangan bimbang dengan apa yang hilang, mintalah dengan Allah dan yakinlah dengan pemberianNya. Bila dah dapat, syukurilah. Sedikit atau banyak, wajib disyukuri. Berkongsi apa yang kita dapat dengan orang lain itu pun salah satu tanda kita bersyukur dengan kurniaanNya. Jangan kedekut pula. Rajin-rajinlah bersedekah. InsyaAllah rezeki kita akan bertambah-tambah.
Dan jangan lupa pula tanggungjawab kita melangsaikan hutang. Hutang yang paling utama adalah hutang kita dengan Allah. Kalau ada ibadah solat yang pernah ditinggalkan, qada semampunya. Jangan ambil mudah dengan berkata 'Aku dah bertaubat' - maka kita pun berharap 'hutang' solat itu dianggap langsai sama seperti kita berharap hutang PTPTN kita dihapuskan. Jangan! Tak rugi pun kita qada solat. Itu sudah kewajipan kita sebab kita 'berhutang'. Kalau tidak dicatat pahala sekalipun, sudah menjadi kewajipan untuk kita solat. Kita ini kan hamba. Jangan lebih-lebih nak pertikai.
Comments