Allah tidak berikan apa yang kita mahu, tetapi DIA berikan apa yang kita perlu. Kita semua tahu, pernah mendengar ungkapan ini namun kita sering gagal menghayati maksudnya apatah lagi memahami rahmat disebalik 'belum dimakbulkan' kemahuan kita itu.
Beberapa tahun yang lalu dalam bulan Ramadhan ketika saya masih bertugas di syarikat lama, jabatan saya telah mengatur program kuliah zohor di surau kami sebagai satu aktiviti sepanjang bulan Ramadhan. Satu jawatankuasa dibentuk bagi menguruskan program ini dan ustaz yang dipilih telahpun bersetuju memenuhi jemputan kami.
Namun pada hari yang dirancang, tiba-tiba ramai staff malah AJK sendiri memaklumkan mereka tidak dapat hadir kuliah kerana komitmen kerja di luar pejabat. AJK program yang tinggal sudah kerisauan, bimbang akan anggapan ustaz jemputan apabila melihat tidak ramai staff yang hadir ke kuliah beliau nanti. Malu la kami semua pada ustaz. Ada yang mencadangkan agar dihubungi sahaja ustaz dan mohon menangguh kuliah ke hari yang lain. Malang pula ustaz tidak dapat kami hubungi walau nombor telefon bimbitnya didail berulangkali.
Tiba pukul 1 tengahari, ustaz yang dinanti tidak kunjung tiba. Apabila telah masuk waktu Zohor, azan dilaung dan kamipun dirikan solat berjemaah sesama kami sahaja. Usai solat, ustaz yang dijemput masih tidak nampak bayang. Salah seorang pengurus kanan kami yang solat bersama tadi, secara sukarela menyampaikan tazkirah ringkas memandangkan ada jemaah yang masih menunggu di surau. Kami kehairanan, mengapa ustaz tidak memenuhi jemputan?
Tidak lama kemudiannya salah seorang dari AJK kami dihubungi ustaz, memaklumkan ustaz sebenarnya kurang sihat dan sedang berehat di rumahnya. Pada waktu pagi sebelumnnya, ustaz kemalangan kecil melanggar kenderaan di hadapan akibat memandu dalam keadaan terlalu letih. Jadi beliau memutuskan untuk berehat di rumah dan terlupa pada jemputan kami hinggalah beliau melihat banyak notifikasi misscalled pada telefon bimbitnya. Ustaz tak putus-putus memohon maaf kepada wakil kami. Katanya memang kebelakangan ini beliau banyak hadiri jemputan luar Lembah Klang dan merasa badan bertambah lesu setiap kali pulang dari perjalanan jauh. Barangkali beliau tertidur dalam keadaan terlalu letih maka panggilan telefon kami juga tidak beliau sedari.
Allahu rabbi. Yang sebenarnya kami juga lega kerana ramai staff yang tidak dapat hadir ke kuliah seperti dirancang. Dan apabila difikirkan keadaan ustaz yang keletihan, memang elok benar kuliah kami ditangguhkan. Bayangkan jika ustaz tetap ikhtiar memandu dalam keadaan letih begitu, pasti mengundang bahaya pada diri ustaz. Apabila dimaklum kepada ustaz, beliau mengucap pujian pada Allah dan berkata:
"Allah telah tunaikan apa yang kita masing-masing perlu. Saya perlukan rehat dan tuan-tuan perlukan tangguh. Maka DIA makbulkan keperluan kita berbanding kehendak kita sendiri walaupun kehendak kita itu baik dijalanNYA. Namun Allah lebih mengetahui apa yang tidak kita ketahui".
*****************************************************
Kita pasti pernah rasa pada suatu saat dalam hidup ini, apa yang kita mahukan masih belum diperolehi padahal kita telahpun berikhtiar sepenuh hati. Sedangkan apa yang kita inginkan itu, kita rasakan amat baik untuk kita. Namun apabila segala ikhtiar tidak membuahkan hasil, kita mula rasakan bagai segala usaha tidak menjadi, segala perancangan berlalu sia-sia. Kita akhirnya menjadi kecewa.
Janganlah berputus asa. Teruskan ikhtiar dengan sabar dan solat. Sabar dan solat. Sabar dan solat. Ikhtiar yang diiring dengan sabar dan solat, pasti akan membuahkan hasil yang diredhai Allah SWT.
Namun dalam masa yang sama hendaklah juga kita sentiasa mengingatkan akan diri kita sendiri: barangkali apa yang belum kita perolehi itu sebenarnya perkara yang tidakpun kita perlu buat masa ini. Ada rahmat disebalik belum termakbulnya sesuatu doa, belum ditunaikan sesuatu permintaan.
Dan yang kita amat perlu saat ini, barangkali telahpun kita perolehi sebenarnya. Mungkin cuma kita sahaja yang tidak sedari. Janganlah apabila sudah kehilangan, barulah hendak kita sesalkan. Belajarlah mensyukuri apa yang telahpun dikurniakan kepada kita, barulah jiwa kita tenang dan merasa cukup dengan apa yang ada....seadanya.
Commentaires