top of page
Cari
Writer's pictureFaisal Abu Hassan

Nama Saya Fais atau Faisal?


(Saya menulis post ini di Facebook pada hari ulangtahun kelahiran Mama saya)


Norfaziah Binti Mohd Shah namanya tapi kami sekeluarga panggil Mama. Adik-beradik Mama dan saudara yang lain memanggilnya Siti. Pelik juga kerana pada nama Mama langsung tiada perkataan Siti.

Mama menjadi ibu setelah melahirkan saya pada 25 Mei 1983 di Hospital Desa, Rompin Pahang. Mamalah yang menamakan saya Mohd Faisal; bersempena nama Raja Faisal As-Saud. Mama amat meminati personaliti Raja Faisal lalu nama itu diberikan kepada saya. Tetapi Mama memanggil saya Fais; singkatan ejaan dari Faisal.

Mama ini kesayangan saya dunia akhirat kerana Mama yang merasa pertama kali sakit melahirkan saya, anak sulungnya. Mama yang langsung tidak pernah berputus asa dengan saya. Mama yang selalu menyokong penuh segala minat saya dari zaman remaja hinggalah dewasa. Dari menyertai kadet di sekolah, aktif sukan bolasepak di universiti, bermain muzik sewaktu zaman bujang dan kini berlumba kereta, kesemuanya dengan restu Mama.

Dia Mama yang pernah saya pimpin tangan mengelilingi Kaabah di Kota Suci Mekah. Dan Mama jugalah insan yang hampir kami sekeluarga kehilangan akibat kemalangan jalanraya suatu ketika dahulu. Mama yang terlantar berbulan-bulan di hospital, yang kami empat beradik jaga bersama Papa. Dia Mama yang kuat biarpun belum sembuh sepenuhnya dari kemalangan namun masih mampu sediakan pelbagai juadah buat kami sekeluarga hingga ke hari ini.


Dia Mama yang merestui jodoh saya dan isteri. Walaupun belum kenal isteri saya, gerak hatinya itu yang saya turuti. Mama yang sayang kepada semua cucunya; Rayyan, Rafael, Elsa dan Fahri. Mama yang sering kami adik-beradik usik dan gurau. Mama yang garang sewaktu muda, dan diusia emasnya kami mulai faham garangnya itu adalah kerana dia sayang kami semua.


Selamat ulangtahun kelahiran, Mama.

Semoga Allah ampunkan segala dosa Mama seiring usia yang berlalu dan semoga Allah ampuni segala dosa kami pada Mama. Semoga Mama beroleh keberkatan pada keseluruhan usia hingga ke akhirnya. Semoga Allah berikan kesihatan berpanjangan buat Mama. Dan semoga Mama dianugerahkan kebahagiaan dunia & akhirat...semoga beroleh syurga yang abadi milikNya.

Fais sayang Mama~

2 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua

Comentarios


Post: Blog2_Post
bottom of page