top of page
Cari
Writer's pictureFaisal Abu Hassan

Mujur Tidak Terlepas Kapal Terbang

6 Februari 2019, 9.00 pagi. Saya mencuci kereta dan memeriksa enjin. Petang nanti saya, isteri dan anak-anak akan bertolak pulang ke Kuala Lumpur. Pagi esoknya (7 Februari 2019) mereka akan berlepas dari KLIA2 jam 6.25 pagi jadi saya memeriksa kereta agar tidak berlaku apa-apa masalah untuk memandu jauh nanti. Namun saya berasa tidak sedap hati apabila enjin dihidupkan, saya lihat kipas radiator seperti bermasalah. Pusingan tidak sekata. Bilah kipas bergegar kuat. Sayapun memandu sekitar bandar Kuantan mencari kedai alatganti yang buka namun semuanya tutup pada hari kedua Perayaan Tahun Baru Cina ini. Saya terpaksa memujuk hati, berharap perjalanan kami selamat petang nanti.

Kami bertolak dari Kuantan jam 4.00 petang melalui Lebuhraya Pantai Timur dari Tol Kuantan. Isteri minta saya singgah sebentar di Hentian Kuantan untuk membeli buah potong. Kesempatan itu saya guna untuk memeriksa kipas radiator. Hati semakin risau melihat keadaan pusingan kipas yang semakin menunjukkan tanda-tanda akan berlaku kerosakan namun saya tetap berharap agar keadaan ini dapat bertahan hingga tiba di KLIA2.

Kami teruskan perjalanan namun belum pun jauh dari hentian tadi, isteri menegur ada bau benda terbakar. Saya pandang pada meter suhu, masih di paras normal namun saya tidak berani mengambil risiko. Saya keluar di susur Gambang dan berhenti di tepi jalan. Motor kipas berasap terbakar dan kipas tidak lagi berpusing. Suhu enjin mulai naik melebihi 90 darjah celsius. Saya teruskan perjalanan memandu perlahan, berpatah balik ke kuantan melalui jalan bawah sambil berharap ada kedai alatganti atau bengkel yang dibuka pada hari ini. Sambil itu, isteri membantu saya taipkan mesej di Whatsapp Group meminta bantuan dari rakan-rakan.

Alhamdulillah, saya dan isteri ternampak sebuah bengkel dibuka tidak jauh dari Restoran Zaman. Kami membuat pusingan U dan terus ke bengkel tersebut. Tanpa lengah, saya berjumpa dengan mekanik dan memberitahu masalah yang berlaku.

Nama bengkel ini Wawan Garage. Dibuka di situ belum pun 2 tahun. Masih baru. Pemiliknya dikenali sebagai Wawan. Dahulu bekerja dengan bengkel orang, sekarang mengusahakan bengkel sendiri. Beliau ramah dan sangat mudah tersenyum. Beliau menerangkan sebenarnya ada sebuah kereta yang rosak di lebuhraya meminta bantuan dari beliau waktu ini dan bertanya sekiranya saya boleh menunggu sehingga dia selesai. Setelah setuju dengan sebutharga, barang yang perlu ditukar terus dibeli. Katanya hanya ada sebuah sahaja kedai alatganti yang buka pada hari itu. Kami perlu menunggu barang tersebut dihantar ke bengkelnya.

Wawan terpaksa tinggalkan saya kerana perlu selesaikan kes kerosakan kereta di lebuhraya, namun memberi jaminan mekanik beliau bernama Icap akan siapkan kereta saya dengan segera. Tidak lama kemudian, seorang rakan dari PPOC Pahang bernama Wan datang membawa motor kipas radiator untuk saya. Sayangnya motor tersebut untuk model Elegance, tidak sama dengan model kereta saya. Namun beliau berbesar hati memberi motor kipas itu secara percuma kepada saya dan meminta jika ada rakan Persona yang memerlukan, saya hanya perlu sampaikan sahaja barang itu. Itu niat sedekahnya. Allahu...

Adik-adik bersama ibubapa saya dari Kuantan datang ke lokasi bengkel. Kami makan bersama sementara menanti kereta saya siap dibaiki dan bercadang untuk konvoi bersama ke Kuala Lumpur nanti. Lega hati saya, sekurang-kurangnya jika berlaku apa-apa pada kereta saya, dapatlah mereka terus membantu nanti.

Kereta saya siap dibaiki kurang dari 3 jam, dicampur dengan masa menunggu alatganti sampai. Alhamdulillah. Hasil kerja juga sangat memuaskan. Selepas saya membayar dan bersalaman dengan Wawan dan Icap, saya dan keluarga bertolak ke Kuala Lumpur. Trafik sesak teruk dari Karak hingga ke Gombak. Mujurlah motor kipas radiator sudah ditukar di Wawan Garage tadi. Kereta langsung tidak bermasalah meredah kesesakan trafik. Suhu kekal stabil sepanjang masa. Alhamdulillah.

Kami tiba di KLIA2 sekitar jam 4.30 pagi. Isteri dan anak-anak berlepas pulang mengikut jadual. Walaupun kepenatan, sekurang-kurangnya kami tidak terlepas jadual penerbangan.

Terima kasih kepada Wawan Garage atas khidmat diberikan. Terima kasih juga buat keluarga PPOC yang membantu kami dalam kesusahan. Semoga Allah berkati dan murahkan rezeki kalian~

NOTA: - saya amat sarankan bengkel Wawan Garage ini kepada semua rakan-rakan automotif dan permotoran. Khidmat yang cekap dan baik. Customer friendly. Harga berpatutan.

- berkelab kereta sememangnya bagus, dapat menambah kenalan baru dan membantu kita dalam saat susah. Semoga kita dapat nanfaatkan diri sendiri untuk berkelab dengan menjadi ahli yang baik kepada semua rakan-rakan. InsyaAllah~



6 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page