Ada orang yang meletakkan target untuk jana pendapatan hingga 7 angka, barulah dirasakan telah berjaya dalam hidup. Tetapi ada juga orang lain yang jika dapat hilangkan kerisauan tentang hutang pun sudah memadai baginya walau gaji hanya 4 angka sebulan.
Ada orang yang meletakkan target perniagaannya perlu berkembang dan buka banyak cawangan, barulah dirasakan telah berjaya dalam hidup. Tetapi ada orang lain yang jika dapat terus berniaga di tempat yang sama pun sudah memadai baginya walaupun hanya berniaga dalam talian.
Ada orang yang meletakkan target dirinya perlu menjadi pelajar paling cemerlang di universiti, barulah dirasakan telah berjaya dalam hidup. Tetapi ada orang lain yang jika dapat dapat tamatkan pengajian pun sudah memadai baginya walau keputusan peperiksaannya cukup-cukup makan.
Ada orang yang meletakkan target untuk pernah melancong hingga ke seluruh dunia, barulah dirasakan telah berjaya dalam hidup. Tetapi ada juga orang lain yang jika dapat pergi ke Tanah Suci sahaja pun sudah memadai baginya walau sudah berkali-kali dia ke sana.
**********************************
Kehendak dan keperluan dalam setiap diri kita itu berbeza, tidak sama dengan orang lain. Definisi kebahagiaan dan rasa cukup pada kita tidak semestinya sama dengan orang lain.
Jika ada orang yang sudah bahagia dengan gaji tiga ribu sebulan, jangan dipaksa dia jadi jutawan. Jika ada ahli keluarga yang sudah bahagia dengan hanya satu kedai makan, jangan dipaksa dia buka cawangan. Jika ada adik-adik kita yang sudah bahagia dapat lanjutkan pengajian, jangan dipaksa setiap semester dia mesti dapat anugerah dekan.
Tiada salahnya jika kita bercita-cita hendak jadi jutawan, hendak ada jaringan perniagaan di mana-mana ataupun hendak jadi yang terbaik dalam apa yang kita lakukan.
Cuma jangan kita pandang rendah pada mereka yang tidak bercita-cita seperti kita. Jangan sesekali.
**********************************
***Tambahan*** Ada orang yang meletakkan target hendak podium setiap kali berlumba, barulah dirasakan telah berjaya dalam hidup. Tetapi ada juga orang yang jika dapat habiskan perlumbaan pun sudah memadai baginya...
Sayalah orang itu 😊
Comments