top of page
Cari
Writer's pictureFaisal Abu Hassan

Menilai Dosa Orang : Layakkah Kita?


Saya masih ingat pada tahun 2009, beberapa hari sebelum saya berangkat ke Tanah Suci menunaikan umrah saya dihubungi seorang rakan yang sama-sama aktif main ‘muzik berat’ (underground). Dia hendak sampaikan kad jemputan kahwinnya kepada saya. Saya keberatan hendak berjumpa kerana apabila diberitahu tarikh majlis, saya katakan yang saya tak dapat hadir kerana akan mengerjakan umrah. Tetapi beliau tetap mengajak saya berjumpa. Lepak mamak sementara dia masih bujang, katanya. Akhirnya saya terima pelawaan itu walau berat hati.

Kami minum di sebuah restoran di Pandan Mewah; pertama kali kami minum di situ. Kebiasaannya kami minum di Pandan Indah namun dia menjelaskan dia telah berjanji dengan seorang tukang jahit merangkap mak andam untuk berjumpa di situ. Dia ingin membayar deposit sewa baju pengantin dan sewa pelamin. Tidak berapa lama selepas minuman yang dipesan tiba, datang seorang lelaki pertengahan usia menghampiri kami. Dari gaya berpakaian dan berjalan lemah gemalai, saya yakin inilah ‘mak andam’ yang ditunggu sahabat saya ini.

Beliau memberi salam dan memperkenalkan diri kepada saya sebagai Abang Din. Katanya dia terlewat kerana ada pelanggan datang ke butik untuk tempahan baju. Abang Din bertanya kepada saya adakah saya akan jadi pengapit pada hari majlis, saya menjawab tidak; kerana saya akan berangkat ke Tanah Suci.

“Untuk kali pertama?” soal Abang Din. Saya pun menjawab “Ya”.

“Abang Din dah 12 kali ke Tanah Suci”, kata beliau.

Saya rasa agak sinis ketika itu. Orang ‘selembut’ dia ini sudah 12 kali ke Tanah Suci tapi masih ‘lembut’? Telah saya di dalam hati.

Namun Abang Din bagai dapat membaca fikiran saya. “Benar, Abang Din dah ke sana setiap tahun selama 12 tahun. Tahun ini jika diizinkan Allah, Abang Din akan pergi lagi”.

Saya kehairanan. Kali ini saya cuba berlapang dada. Mungkin Abang Din berkata benar. Saya pun berkata kepadanya betapa beruntungnya beliau dapat ke sana banyak kali dan saya juga bertanya apakah semuanya umrah? Abang Din menjawab “1 haji dan 11 umrah”. Saya semakin kagum. Malah kawan saya juga kagum dengan Abang Din.

Kami semakin tertarik mahu mendengar cerita Abang Din yang sudah 12 kali ke Tanah Suci. Bagai dapat membaca fikiran kami, Abang Din menceritakan pengalaman dan kisah hidup beliau:

“Abang Din tinggalkan kampung datang ke KL tahun 1992. Masa tu ikut kawan-kawan. Menumpang rumah sewa diorang. Abang Din susah masa tu jadi apa sahaja kerja yang ada, Abang Din buat demi duit belanja. Halal haram semuanya Abang Din buat termasuk la *** (saya tak sanggup tulis di sini namun rasanya ramai yang boleh agak kerja *** golongan nyah yang dimaksudkan Abang Din).

Keluarga di kampung memang marah dengan Abang Din, terutama ayah. Bertahun-tahun Abang Din tak balik kampung sebab takut dengan ayah. Tapi Abang Din kerap telefon kakak, bertanya khabar keluarga. Berkali-kali jugak la kakak pujuk balik rumah tapi hati Abang Din belum terbuka. Masih nak enjoy rasa pegang duit di KL.

Satu hari tu mak ayah Abang Din ke Tanah Suci menunaikan haji. Balik dari haji, ayah Abang Din sakit teruk dan meninggal. Itulah kali pertama Abang Din balik ke kampung setelah bertahun keluar rumah. Abang Din peluk mak minta maaf. Masa tu mak cerita, sebenarnya ayah dah sakit sejak di Tanah Suci. Mujur di sana, ada seorang pemuda sama jemaah haji tolong jaga makan-minum ayah. Pemuda itu sebaya Abang Din. Setiap hari pemuda itu tolong ayah makan, mandikan ayah, tolong ayah berwudhuk untuk solat. Pemuda itu menjaga ayah Abang Din macam ayahnya sendiri.

Abang Din terkesan dan terkilan kerana Abang Din sendiri tak pernah jalankan tanggungjawab sebagai anak. Mungkin kerana itulah Allah ‘hantarkan’ pemuda lain menjaga ayah.

Sejak dari itu Abang Din nekad nak berubah. Abang Din nak jadi anak yang baik. Abang Din mula solat balik bagi cukup 5 waktu, baca quran dan berazam mengerjakan haji pada tahun berikutnya. Alhamdulillah, niat Abang Din dimakbulkan. Sepanjang berada di Tanah Suci, Abang Din kerap bantu jemaah lain yang sudah tua. Ada yang Abang Din tolong suapkan makanan dan ada yang Abang Din tolong papah sewaktu saie. Dan Abang Din berdoa kepada Allah supaya diizinkan Abang Din kembali ke Tanah Suci selagi hayat masih ada.

Alhamdulillah. Setiap kali Abang Din dijemput menjadi tetamu Allah ke Tanah Suci, Abang Din akan membantu mana-mana jemaah tua yang dalam kesusahan. Abang Din jaga mereka bagai ayah sendiri. Dan Abang Din tak putus-putus mendoakan semoga Allah murahkan rezeki pemuda yang pernah menjaga ayah Abang Din dahulu.”

Abang Din menunjukkan sekeping gambar beliau di hadapan Kaabah dalam keadaan ihram. Dia simpan dalam dompet gambar itu. Sebelum kami berpisah, Abang Din sempat berpesan kepada saya “Tolong sampaikan salam Abang Din di Maqam Rasulullah SAW ye”

Pertemuan saya dengan Abang Din betul-betul membuka hati saya. Asalnya saya amat skeptikal kerana perwatakan beliau yang lembut, namun selepas mendengar cerita beliau saya sedar dia lebih istimewa dari saya.

Dan dari situlah saya mula berfikir: siapalah saya hendak menilai dosa-dosa silam Abang Din, sedangkan dia telah 12 kali berturut-turut dijemput menjadi tetamuNya di Tanah Suci?

Dan hari ini saya masih berpesan kepada diri saya: Siapalah kita hendak menilai dosa orang dan merasa diri kita lebih baik, hanya kerana kita tak melakukan dosa sepertinya…

6 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua

Commentaires


Post: Blog2_Post
bottom of page