top of page
Cari
Writer's pictureFaisal Abu Hassan

Mengukur Syukur

Saya pulang kerja lewat malam ini. Tiada apa yang aneh, hanya satu kebiasaan. Dan apabila pulang lewat begini, saya tidak mahu pulang kelaparan. Perut perlu diisi.

Restoran ini adalah pilihan wajib. Dan dalam kebiasaan, di sini sahaja pilihan yang ada terutama dalam waktu yang tidak banyak kedai masih dibuka dan yang boleh sampai dari pejabat hanya dengan berjalan kaki sahaja.

Sedang saya meninjau meja yang kosong, saya terpandang ke arah tiga orang kanak-kanak yang duduk di meja bahagian tepi restoran ini. Dua darinya sedang makan manakala seorang lagi hanya berdiri sambil memegang beberapa naskah surah Yaasin kecil. Dan tidak tahu dari mana datangnya gerak hati, saya melangkah dan menyapa ketiga mereka.

Kanak-kanak lelaki yang tidak makan itu menghulurkan naskah surah Yaasin dan berkata "Abang, belilah Yaasin ini. Bayar seikhlas hati"

"Abang belum makan. Boleh abang makan sekali di meja ini?" tanya saya.

Mereka bertiga saling memandang sebelum akhirnya saya dibenarkan duduk di meja mereka.

Yang berdiri di dalam gambar ini namanya Muhammad Bin Nasir; berusia 10 tahun. Di sebelahnya bernama Mariam Binti Nasir; 11 tahun. Merupakan kakak kepada Muhammad. Dan yang duduk di sebelah saya adalah Ali Bin Muhammad Ali; 12 tahun. Mereka bertiga adalah kanak-kanak Rohingya.

"Abang belum makan?" tanya Ali kepada saya.

"Belum. Abang baru balik kerja. Kita makan sama-sama ye. Order aje nak makan apa", jawab saya.

"Abang kerja di KLCC ke?" Muhammad tiba-tiba bertanya sambil menunjuk ke arah tshirt yang saya pakai.

"Tidak. Abang bukan staff Petronas", jelas saya. Saya memakai tshirt Petronas Five Time World Champions. Barangkali Muhammad menyangka saya kerja di KLCC kerana tshirt itu.

Saya sangkakan tidak akan mudah untuk berbual dengan mereka, ternyata saya salah. Mereka bertiga amat sopan dan ramah. Nak diajak berbual memang mudah. Namun saya berhati-hati dalam menyusun kata mengaju soalan kepada mereka, tidak mahu membuat mereka tersinggung dan berasa hati pula. Setiap soalan yang saya tanya jika mereka tidak jawab, saya tidak akan ulang. Saya akan tukar soalan lain yang boleh mereka jawab dengan hati senang.

Ali adalah yang paling tua antara mereka bertiga. Menjadi abang kepada Muhammad dan Mariam apabila keluar 'bekerja' sama-sama walau mereka tiada talian saudara. Menurut Ali, setiap hari selepas pulang dari sekolah, mereka akan keluar mencari rezeki hingga ke malam hari. Mereka menjual naskah surah Yaasin dan wang yang diperolehi akan dibawa pulang untuk perbelanjaan keluarga masing-masing nanti. Ali ini anak kedua. Ayahnya sakit tidak boleh bekerja dan terlantar dijaga ibunya. Ali terpaksa bekerja menyara keluarga dalam usia yang muda. Begitu juga dengan Muhammad dan Mariam. Keduanya ada kisah duka seperti Ali. Ke mana sahaja mereka bertiga sentiasa bersama mencari rezeki.

Muhammad suka mengusik Ali yang kuat makan dan berbadan sedikit gempal. Ali pula tersenyum malu-malu. Manakala Mariam hanya duduk tersenyum dalam diam. Kata Muhammad, kakaknya tidak fasih berbahasa Melayu jadi dia malu hendak bercakap dengan saya. Muhammad kata dia suka pergi sekolah, dapat belajar pelbagai perkara. Malah Muhammad boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris dan Arab juga. Saya menguji bahasa Arabnya, benar dia fasih berkata-kata. Allahu...

Dan apabila saya mengajukan soalan yang mengusik hati, jawapan mereka hanyalah sepi. Rasa bersalah dan sayu pula dalam diri. Kanak-kanak pada usia begini seharusnya hidup dalam dunia warna-warni, bukan dalam trauma perang mimpi ngeri.

"Saya sedih. Bila saya hendak jual surah Yaasin, orang marah saya sebab ingat saya nak minta sedekah. Saya bukan minta sedekah. Saya cuma hendak tolong emak dan ayah", luah Muhammad kepada saya sambil dia menyuap makanan. Ya Allah, hampir tewas saya menahan airmata.

"Muhammad, Mariam dan Ali kena kuat dan bersabar. Allah uji dengan kesusahan sebab Allah rindu pada Muhammad, Mariam dan Ali" ujar saya.

"Bukan sebab Allah sayang ke Allah bagi ujian?" tanya Ali.

"Bila kita sayang seseorang, kita akan rindu pada dia. Allah juga begitu. Allah rindu hendak dengar doa dari Muhammad, Mariam dan Ali. Bila rasa sedih, hati tak tenang, Allah tunggu kita berdoa kepada Dia. Dia rindu kita. Jangan lupa berdoa pada Allah ye Muhammad.. Mariam.. Ali.."

Saya pandang satu per satu wajah mereka. Tiada riak di wajah namun saya berharap mereka tidak berputus asa memohon rahmat dan pertolongan dari Allah.

Bicara kami tidaklah panjang. Tepat jam 11.30malam, mereka bertiga meminta izin untuk pulang. Rumah mereka di Pandan Mewah, perlu menaiki bas 303. Jika terlepas bas, terpaksalah berjalan kaki melangkah pulang ke rumah.

*********************

Pertemuan tidak dirancang malam ini meninggalkan kesan dalam hati saya. Dalam kita sibuk tentang hal-hal urusan kerja, tentang hal-hal politik negara, tentang hal diri kita yang kita rasa itulah paling penting untuk diberi perhatian setiap masa, kita terlepas pandang pada mereka yang bergelut dengan bermacam kesusahan menempuh hari mendatang.

Saya pasti di kalangan kita akan ada yang berkata "Aku pun dahulu hidup susah sedari kecil. Tiada bezanya dengan anak-anak Rohingya ini".

Saya tidak nafi kesusahan anda. Tapi pada usia 10-12 tahun, pernahkan anda bekerja di negara asing sebagai pelarian perang seperti anak-anak ini?


Masih banyak sebenarnya nikmat yang wajib kita syukuri dan andai diukur, syukur kita itu terlalu sedikit jika hendak dibanding dengan nikmat yang telah kita kecapi selama ini...



6 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page