top of page
Cari
Writer's pictureFaisal Abu Hassan

Menawar Rezeki


Ayah saya ada seorang kenalan yang terkenal kerana hidupnya senang. Murah rezeki. Bisnes apapun dia buat sememangnya menjadi.

Beliau ada tabiat yang aneh. Apa sahaja yang beliau beli, beliau tidak pernah meminta diskaun, tidak pernah meminta tawar kurang harga. Tidak sekali-kali. Kalau harga ditetapkan itu RM10.10, beliau akan bayar RM10.10; sepuluh sen pun beliau tidak akan minta kurang atau diskaun. Lain dari kebiasaan kita yang akan tawar-menawar sebelum membeli sesuatu. Sedangkan dia pula mudah memberi diskaun kepada orang.


Ayah saya pernah bertanya akan tabiatnya ini. Diapun menceritakan peristiwa yang berlaku kepadanya sewaktu mengerjakan haji beberapa tahun sebelum itu.


Sewaktu di Tanah Suci, beliau sering membawa wang yang banyak ke mana-mana sahaja dengan niat untuk bersedekah dan membeli cenderamata buat sanak saudara di Malaysia. Pada hematnya, jika banyak wang dibawa maka ramailah yang dapat merasa wang sedekahnya dan ramai saudara mara yang akan dapat cenderamata darinya. Dengan harapan mereka akan gembira dan mendoakan untuknya.


Satu hari, beliau didatangi seorang peminta sedekah. Beliaupun mengeluarkan dompet namun didapati hanya ada wang nilai besar sahaja dalam simpanannya. Dia merasakan tidak perlu diberi wang yang banyak hanya kepada seorang peminta sedekah. Lalu diapun meminta peminta sedekah itu tunggu di situ sementara dia ke kedai berhampiran untuk menukar wang kecil.


Setibanya di kedai, diapun membuka dompetnya. Subhanallah, kosong! Tiada sekeping pun wang dalam dompetnya. Padahal dia bawa wang yang banyak awalnya. Dia menoleh ke arah pengemis tadi, barangkali wangnya tercicir namun tiada sesiapapun berdiri di situ..


Pada waktu lainnya dia membeli cenderamata untuk dibawa pulang disedekahkan kepada saudara mara. Penjual telah menetapkan harga barang namun dia membuat tawar-menawar sebelum membeli. Dan tawar-menawarnya itu yang terendah pernah dibuatnya. Gembira memikirkan betapa banyak wang yang dapat dijimat, diapun segera mengeluarkan dompet hendak membayar. Sekali lagi dia terkejut kerana dompetnya kosong seperti sebelum ini padahal dia belum pun membelanjakan wang tersebut. Allahu...


Terkesan dengan peristiwa itu, diapun mengerjakan solat sunat taubat memohon petunjuk di Masjidil Haram. Mulai saat itu, dia tidak lagi berlengah dalam bersedekah dan tidak meminta kurang dalam jual-beli jika niatnya barang itu untuk dihadiahkan. Dan jika sekalipun peniaga tersalah meletakkan harga yang tinggi, bayaran yang lebih itu dia halalkan dan dia anggap sedekah setiap kali.


Dan itulah yang diamalkannya sejak dari pulang dari Tanah Suci. Rezekinya sentiasa dimurahkan Allah dan dia tidak lagi merasa risau dalam hati. Semakin bertambah setiap hari. Dari bekerja memakai uniform bersama ayah saya makan gaji, hingga dia mampu bersara awal buka perniagaan sendiri.


************************

Teringat pula perbualan saya dengan Abg Aji Zairi Latif di Sungai Ramal baru-baru ini:


"Harta dunia ini jika kita risau kerana takut kehilangannya, maka akan semakin dia menjauhi kita.

Tetapi jika hilang kerisauan tentangnya dari hati kita, maka semakin bertambah-tambah dia datang untuk menguji keimanan kita."


Jika hari ini kita rasa wang yang ada tidak mencukupi, jangan dibebankan dalam hati. Semuanya Milik Allah dan yakinlah dengan rezeki ketentuan Ilahi. Ikhtiar di tangan kita, rezeki di tanganNYA. Berusahalah.


Dan jangan berkira dalam memberi jika mahu murah rezeki.


************************

Hari ini sepatutnya saya bertemu dengan sahabat baik saya di Putrajaya namun atas sebab yang tidak dapat dielakkan, beliau terpaksa pulang ke Kedah Darul Aman.


Setiap kali teringat pada sahabat saya ini, pasti datang kerinduan pada dua Tanah Suci; tanah kelahiran Nabi dan tanah dimana jasad Baginda bersemadi.


Benar kata sahabat saya ini, tidak akan ada tempat yang paling saya akan rindui kecuali Tanah Suci melebihi kerinduan pada tanah kelahiran sendiri. Rindu yang tidak pernah bertepi...

0 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page