top of page
Cari
Writer's pictureFaisal Abu Hassan

Melangkah Dengan Hati

Updated: 27 Mei 2019


Tahun 2008. Tahun yang saya takkan lupa.

Tahun itu saya baru sahaja beberapa bulan memulakan tugasan di sebuah agensi kerajaan; bekerja pada hari Isnin hingga Jumaat di Jalan Ampang KL. Pada sebelah malam saya buat kerja sambilan sebagai pengawal keselamatan di Glenmarie Shah Alam.

Pada hari Sabtu saya ke kelas di Cheras menyambung pengajian diploma. Pada hari Ahad pula saya mengajar kelas tambahan di pusat tuisyen di Saujana Utama. Waktu itu saya masih bujang dan belum memiliki kereta. Ke mana-mana saya menunggang motorsikal Yahama LC135 sahaja.

Tahun yang sama saya menjadi pemain bass untuk band Bloodletting dan pernah menjadi sessionist untuk dua band yang lain. Jamming studio masa tu di Pandan Indah dan Batu 7 Cheras. Tahun itu, sebulan atau dua bulan sekali saya dan band buat persembahan gig di sekitar Kuala Lumpur.

Jadual hidup saya penuh. Banyak kali 'gagal' hadiri beberapa acara penting dalam hidup saudara dan rakan-rakan rapat; antaranya majlis perkahwinan dan majlis pengkebumian. Semua dek kekangan masa saya.

Mengapa saya pilih jalani hidup begitu? Kerana saya ada hutang. Memang silap saya. Saya tidak salahkan sesiapa sebaliknya saya nekad buat apa sahaja untuk hapuskan hutang itu dari hidup saya tahun itu.

Alhamdulillah sebelum berakhir tahun itu, hidup saya bebas dari hutang. Saya dapat langsaikan ansuran motor walaupun baru 9 bulan beli motorsikal, dapat menyimpan wang pendahuluan untuk beli kereta Proton Persona dan dapat bayar yuran pengajian diploma hingga habis. Dan bonusnya, saya dapat pelbagai pengalaman bekerja sebagai pengawal keselamatan di beberapa syarikat; antaranya Menara CIMB di sebelah Sogo tu, Menara Maybank dan di Al-Jazeera di Tower B KLCC; serta dapat pengalaman menjadi guru tusyen, pengalaman merakamkan album bersama band dan pernah mendapat undangan membuat persembahan di Immortal Bar, Bangkok Thailand!

Semuanya berlaku dalam satu tahun yang sama iaitu tahun 2008!

Tahun itu sudah berlalu tetapi masih banyak kenangan dan pengajaran yang masih kekal bersama saya.

Tahun ini saya masih bekerja di agensi kerajaan yang sama, dalam masa yang sama saya belajar ilmu membaiki kereta di bengkel kawan-kawan. Saya menjadi pelumba grassroot motorsport dan pengurus pasukan Daris Racing Team. Saya menjadi ejen jualan produk minyak pelincir Fast Power Oil dan runner jualan tayar dan barangan alat ganti kenderaan. Saya masih belajar cara-cara memandu dengan betul, masih suka bermain muzik dan masih sukakan cabaran.

Saya buat apa yang saya minat dan apa yang mampu berikan pulangan kepada poket saya. Walaupun sedikit, tidak mengapa. Kerana itu hasil usaha saya.

Saya rasa sedih jika mendapat tahu ada yang terpaksa meminta-minta wang; meminjam dengan pelbagai alasan. Gaji yang diperolehi tak cukup menanggung belanja seharian. Tetapi lebih menyedihkan ada yang sampai memaksa-maksa untuk orang memberi pinjam, membuang terus rasa malu untuk berhutang. Saya juga pernah hidup susah tetapi saya tidak mudah menyerah, apatah lagi mahu menggadai maruah.

Hidup ni terlalu singkat untuk hanya mengeluh kesusahan mengharungi hari-hari mendatang, terlalu cepat berlalu untuk hanya buat satu perkara berulang-ulang. Dan tidak seharusnya hidup yang singkat ini digunakan untuk menilai buruk baik orang, menyimpan hasad dengki dan mengata di belakang. Berusahalah perbaiki kehidupan, jangan hanya bergantung-harap pada meminjam dan berhutang. Ada jalan keluar dari setiap kesulitan yang datang.

Buat apa yang anda suka, yang anda enjoy. Hidup ni susah macam mana sekalipun, kita redah je. Live your life to the fullest. Make new friends everyday. Pay good deed to stranger. Berusahalah sepenuh hati anda, insyaAllah, it will make your feel better. Selebihnya serahkan hanya pada Yang Esa.

9 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page