Saya dan isteri, lazimnya kami jarang sependapat. Sebut sahaja apa isu, dari bab membesarkan anak hingga ke politik. Selalu sahaja ada yang jadi selisih.
Mungkin kerana latar belakang kami berbeza, maka tidak aneh jika pandangan kami dalam sesuatu perkara itu jelas tidak sama. Bukanlah pendapat dia salah, cuma untuk saya terima itu tidak mudah. Saya pula jenis suka mempertikai, isteri pula malasnak berhujah. Dia semahunya elak dari berbalah. Pada akhir kebanyakan masa, saya juga akan lembut hati untuk mengalah.
Berbeza pendapat bagaimana sekalipun, kita tetap perlu hormat. Barulah terjalin sepakat. Barulah berkat.
Dan kami sepakat dalam hal ini: kunci kepada kekecewaan hati manusia adalah apabila dia mula meletakkan harapan yang tinggi kepada manusia lain melebihi harapan kepada Tuhan.
Biar siapapun yang anda undi, berharaplah hanya pada Yang Esa. Tidak ada manusia yang punya kuasa, punya kekuatan, punya kekayaan sepertiNya. Benar, untuk mengubah nasib itu adalah dari ikhtiar kita sendiri namun segala keputusan masih ditanganNya. Kita bukan penentu muktamad. Ingat!
Selamat mengundi, Malaysia
*dalam satu hal yang lain ini saya berat hati terpaksa setuju dengan pendapat isteri : bila isteri kata saya lebih hensem dari artis yang dia minati
Comments