Saya pulang lewat lagi hari ini. Turun dari pejabat lalu menuju ke kedai mamak untuk makan malam. Saya melewati jejantas yang di bawahnya ada seorang lelaki gelandangan sedang beristirehat. Saya hanya memandang sambil meneruskan langkah ke kedai mamak berhampiran, menjauhi susuk tubuh lelaki itu namun difikiran semakin kuat bertanya soalan bagaimana nasibnya. Apakah sudah makan? Apakah sudah solat? Apakah dia memerlukan bantuan?
Selesai makan, saya melangkah pulang semula ke pejabat. Saya dapati lelaki tadi masih di bawah jejantas. Memang itu yang saya harapkan. Saya melangkah menghampirinya dan memberi salam. Salam saya dijawab mesra. Saya berhenti melangkah dan hulurkan tangan, menyapa beliau sambil menghadiahkan senyuman. Saya bertanya apakah dia sudah makan. Dan sambil itu saya buka dompet, mencapai wang untuk diberikan kepadanya.
Namun dia menolak dengan baik, sambil bercakap dalam loghat Utara katanya dia sudah makan. Saya sekadar bertanya, "Pakcik makan apa tadi?"
Jawabnya :"Pakcik tak makan apa-apa. Dah dua hari tak makan. Tapi pakcik tak lapar. Perut pakcik sentiasa kenyang. Allah yang bagi pakcik makan."
Allahu rabbi...Jujur, jawapannya membuatkan saya sebak!
Saya tanya nama pakcik ini. Namanya Yusuf, berasal dari Kedah. Saya hanya tersenyum tanpa kata, wang saya ditolaknya, dan pula dia tidak berharap pada apa-apa dari saya. Tidak meminta-minta meski pada pandangan saya terlalu banyak kekurangan ada pada dirinya berbanding saya. Saya cuba hulurkan wang sekali lagi namun dia tetap menolak dengan baik. Saya mengalah. Saya bersalam dengannya dan teruskan melangkah. Hati saya tersentuh sangat-sangat.
Pakcik Yusuf hidup hanya dengan keyakinan pada Allah. Semata-mata yakin. Dan jawapan darinya itu membuat saya sedar, sayalah yang sebenarnya hidup dalam kekurangan, bukannya dia. Dia masih boleh tersenyum biarpun tidur beralas suratkhabar di bawah jejantas tanpa makan selama dua hari. Tidak meminta-minta dari manusia. Masih mampu menolak pemberian. Kalau kita ditempatnya, bagaimana?
************
Siang tadi saya berhubung dengan sahabat lama di Whatsapp. Dia mempelawa saya untuk menyertainya membuat kerja dakwah hujung minggu ini. Saya katakan padanya saya setuju, padahal dalam hati saya telahpun berjanji dengan rakan-rakan pelumba untuk menyertai mereka ke MIMC pada hujung minggu ini. Saya menjadi ragu-ragu dan berbelah-bahagi. Antara tidak sampai hati membatalkan hasrat ke MIMC atau menolak pelawaan kerja dakwah.
Selepas solat sayapun berdoa pada Allah agar diberi gerak hati yang betul dalam membuat keputusan.
Dan saya kira pertemuan saya dengan Pakcik Yusuf ini telahpun menjawab persoalan yang mana satu perlu saya dahulukan.
Comentários