Sewaktu saya bersekolah dahulu, saya perasan ada seorang rakan saya sering mengerjakan solat sunat selepas selesai mengerjakan solat fardhu Asar. Hampir setiap hari. Setahu saya tiada solat sunat selepas solat fardhu Asar. Lalu saya menegur perbuatannya itu.
Namun dia menjelaskan, dia bukanlah mengerjakan solat sunat. Sebaliknya dia mengerjakan solat qada Subuh. Saya bertanya lagi, apakah solat qada itu dikerjakan setiap kali selesai solat Asar? Jawapannya benar-benar mengejutkan saya.
Sebenarnya dia dirikan solat qada Subuh dalam setiap waktu!
Saya bertanyakan padanya sebab-sebab yang demikian. Diapun menceritakan kepada saya. Dia mula akil baligh pada usia 11 tahun. Waktu itu solat sudahpun menjadi wajib untuk dirinya. Namun dia amat liat untuk bangun mengerjakan solat Subuh. Baik pada hari persekolahan, mahupun pada hari cuti.
Ketika berusia 15 tahun yakni pada tahun yang sama kami menduduki PMR, dia sekeluarga mengerjakan umrah. Sewaktu di Tanah Suci, mutawwif menyarankan para jemaah untuk qada solat yang pernah ditinggalkan. Dari situlah dia mula mengetahui bahawa solat yang sering ditinggalkannya itu adalah hutang kepada Allah yang wajib dibayar. Tidak boleh sekadar bertaubat semata-mata.
Dan sejak itulah dia nekad untuk qada solat Subuh yang pernah ditinggalkannya selama bertahun-tahun sejak akil baligh. Dia dirikan dua rakaat setiap waktu dengan harapan dapat menebus semua hutangnya.
Saya tanyakan lagi bagaimana dengan solat-solat yang lain (zohor, asar dan lainnya). Dia menjawab solat-solat itu ada yang diqadanya namun tidak sebanyak solat subuh.
Dan bertanya saya lain, sampai bila dia akan lakukan qada? Katanya biarpun solat qada subuh itu tidak dibalas dengan pahala, dia akan tetap dirikan kerana tidak mahu menanggung hutang dengan Allah.
Sedangkan begitu banyak nikmat telah Allah berikan padanya selama ini, apalah sangat dengan mendirikan dua rakaat solat qada subuh?
*gambar sekadar hiasan
Comments