top of page
Cari
Writer's pictureFaisal Abu Hassan

Hebatkah Melayu Pertahankan Islam?


Kalau dalam hal mempertahankan agama Islam, orang Melayu memang hebat. Sanggup turut ke jalanan mempertahankan agama rasmi di negara berdaulat. Hebat!

Apabila saudara seIslam di Palestin dan Syria diserang, Melayu paling kuat bangkit dengan suara lantang. Diadakan solat hajat selepas solat Jumaat, berdemo pula beramai-ramai di hadapan pejabat konsulat. Hebat!

Melayu pantang agamanya dihina, dicaci dan dibuat malu. Tidak teragak-agak bangsa lain akan digertak: "Jangan diusik agama & bangsaku. Jika kami hendak, kami bisa bersatu!". Lalu mereka buktikan dengan berhimpun jutaan umat beberapa minggu yang lalu.

Namun apakah benar hebat Melayu dalam mempertahankan Islam?

Mari kita lihat cara Melayu berbicara dengan saudara seIslam dari Bangladesh dan Pakistan yang bekerja di stesen minyak, kedai cuci kereta atau kedai makan. Hanya dek silap yang sedikit, langsung dimaki bagai tidak boleh dimaafkan. Sampai sanggup 'hadiahkan' kaki dan tangan. Kasihan. Viral seluruh dunia video disebarkan.

Mari lihat pula cara Melayu melayan saudara seIslam dari Indonesia yang bekerja buruh kasar mahupun pembantu rumah. Tidak ada hari yang mereka tidak diherdik, dimarah. Gaji pula dibayar murah, tidak setimpal dengan beban kerja melimpah-ruah. Suara jerih letih mereka pernahkah diendah? Mengeluh sedikitpun sudah diugut dibuang kerja, lebih teruk passport mereka disorok dan mereka dikurung di dalam rumah. Ya Allah...

Bagaimana pula Melayu melihat kepada saudara seIslam yang bernasib malang? Terpaksa meninggalkan negara mereka yang sedang dilanda perang. Sehelai sepinggang menagih simpati di bumi orang. Mata dipejam dan tubuh berbaring hanya di kaki lima tempat lalu-lalang. Sudikah Melayu menjemput mereka jadi tetamu, menjaga mereka seperti Kaum Ansar menerima Kaum Muhajirin di zaman Nabi dahulu? Bukankah mereka juga saudaramu?

Apabila datang kumpulan tabligh dari negara luar ke surau tempat dia, Melayu ada yang masam muka. Surau bukan bilik hotel katanya. Belum pun pukul 10 malam, habis semua pintu dan pagar surau dimangga. Dan apabila saudara yang berkulit hitam mahu menjadi imam solat, dihalang Melayu dengan alasan si kulit hitam itu bermahzab Hanafi, bukan Syafie. Ya Allah. Andai mereka AJK ini berada di Masjidil Haram, di saf mana mereka hendak berdiri nanti? Apakah mereka fikir disediakan khas saf untuk Mazhab Syafie? Ini bukan rekaan, ini benar-benar terjadi.

Mempertahankan Islam itu tidak salah, itu sunnah. Tetapi nampaknya yang diperjuangkan lebih kepada mempertahankan agama mengikut acuan dan fahaman bangsa. Contoh mudah, apabila bukan Melayu memberi salam kepadanya, bukan salam yang dijawabnya. Ditanya dahulu siapa nama. Apabila bukan nama Melayu yang disebut, dia marah. Padahal yang memberi salam itu saudara seagamanya. Apabila dijelaskan, dimarah pula: "Kenapa tidak tukar nama? Kenapa masih guna nama Cina? Kenapa masih guna nama India?

Aduhai, Melayu. Apakah kamu kira anak-anak Melayu sekarang masih dinamakan dengan nama Melayu? Guru kelas hendak menyebut nama anak Melayu pun berbelit lidah, kepala yang tidak gatal terpaksa digaru. Itu pun masih ada hati hendak pertikai saudara baru yang tidak mahu menukar nama mereka kepada nama Melayu.

Saya sayangkan Islam dan saya bangga menjadi Melayu. Tetapi melebihkan bangsa dari agama, itu salah dan perlu dibuang jauh dari hatimu. Jangan tersalah dalam apa yang kau perjuangkan. Islam kau pertahankan tetapi pernahkah kau sebarkan? Berapa jiwa yang sudah melafaz syahadah dari dakwahmu, wahai Melayu?

Jangan hanya lantang bertakbir dalam demonstrasi tetapi tak mampu mengangkat takbir (solat) berjemaah di masjid dan surau setiap hari. Jangan hanya mempertahankan Islam pada saudara sebangsa hingga saudara seIslammu yang berbangsa lain pula merasa terpinggir tidak dipeduli.

Andai ada yang terkhilaf, saya mohon ampun maaf...

Assalamualaikum wbt buat semua adinda dan juga kakanda~

1 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua

Comments


Post: Blog2_Post
bottom of page