top of page
Cari
Writer's pictureFaisal Abu Hassan

Hati saya terganggu tiap kali terpandang pada masjid ini...


Setahun yang lalu, saya dan seorang rakan sekerja bersarapan pagi di sebuah kafe berhampiran. Berjam-jam lamanya kami makan sambil berbual hal kerja. Dari pagi hinggalah ke tengahari. Selesai membayar bil masing-masing, saya ambil keputusan untuk singgah di masjid ini menunggu masuk waktu solat fardhu zohor.

Saya letakkan kereta di kawasan luar masjid, membiarkan enjin dan aircond tidak dimatikan sambil membaca sesuatu di mukabuku. Tiba-tiba cermin tingkap kereta saya diketuk. Kelihatan kelibat seorang lelaki tua berbangsa Cina berdiri di sebelah pintu kereta saya. Berpakaian agak kemas. Saya turunkan cermin kereta tanpa was-was.


"Sir, sorry if I disturb you. I just want to ask something from you", katanya dengan lembut namun suara sedikit tersekat-sekat.

Barangkali kereta Uncle ini rosak dan perlukan pertolongan, telah saya dalam hati. Sebelum bertanya lebih lanjut, saya matikan enjin dan keluar dari kereta. Uncle ini orang yang lebih tua. Takkan saya yang muda hendak bercakap dengannya sambil duduk dalam kereta sedangkan dia berdiri di tengah panas pula.

Apabila saya berdiri di hadapannya tanpa sempat saya bertanya apa yang boleh dibantu, Uncle ini terus sahaja menyambung kata:

"Sir… Actually I just want to ask…If you could give me some money…So this old man can have a proper meal… I haven't eat since yesterday…"

Tersusun rapi kata-katanya biarpun dengan suara tersekat-sekat bersama nada menahan sebak. Matanya berlinang, penuh sayu penuh harap kepada saya dia memandang.

Allahu rabbi. Lelaki yang sebaya ayah saya ini memanggil saya 'Sir', meminta wang kerana belum makan apa-apa sejak kelmarin. Hati saya tidak kuat untuk menolak. Saya buka pintu kereta, capai dompet dan hulurkan wang kepadanya.

Kali ini saya terkejut. Duit yang dihulur tidak segera diambil, sebaliknya Uncle ini terus meluru memeluk saya dan mula menangis teresak-esak sambil menepuk-nepuk belakang saya.

"Thank you so much, Sir! Thank you so much for your kindness!"

Saya tidak lagi dapat menahan airmata dari mengalir. Saya menangis dan memeluk uncle ini erat seerat-eratnya. Dan uncle ini pula berulangkali mengucapkan terima kasih dalam esak tangisnya.

Seketika kemudian dia melepaskan pelukan dan bertanyakan nama, dari mana asal saya dan dia berkongsi cerita tentang dirinya kepada saya. Katanya dia tidak mahu saya salah anggap kepada dirinya.

Dia bukan pengemis, ujarnya. Waktu muda dia bekerja sebagai jurutera di Pelabuhan Klang. Punya keluarga, isteri dan seorang anak lelaki. Hidup mereka sederhana dengan rumah dua tingkat, lengkap segala keperluan. Mereka bertiga hidup bahagia bersama.

Namun kebahagiaan itu tidak lagi dinikmatinya. 3 tahun yang lalu anak lelakinya mengidap kanser. Waktu itu dia sudahpun berhenti kerja. Tidak punya pendapatan lain. Dia dan isteri terpaksa membelanjakan kesemua wang simpanan hingga menjual kereta dan rumah demi menampung kos ubat dan rawatan anak tunggal kesayangan. Pernah beberapa kali mereka berikhtiar hingga ke seberang laut namun segalanya tidak berhasil. Anak tunggal kesayangan mereka akhirnya menghembuskan nafas terakhir, meninggalkan dunia dan mereka berdua.

Tidak lama selepas itu, isterinya pula kemurungan dan jatuh sakit lalu meninggal dunia juga. Dalam tempoh hanya 3 tahun, Uncle ini kehilangan ahli keluarga dan segalanya. Uncle ini hidup membawa diri sebatang kara. Meninggalkan segala-galanya. Bukanlah dia tidak punya saudara mara namun dia tidak mahu menjadi beban kepada sesiapa. Dia sudah tua. Siapalah yang sanggup menjaganya. Lagipun ke mana sahaja dia pergi, dia tetap merasa sepi. Dia kini lebih selesa hidup gelandangan. Berjalan dari satu tempat ke tempat yang lain mencari ketenangan.

Sewaktu menceritakan kisahnya ini, berkali-kali juga dia sebut kepada saya betapa dia bagai tidak percaya dan langsung tidak pernah menyangka hidup bahagianya dahulu boleh berubah sekelip mata saat usianya semakin senja. Dan berselang-seli sambil bercerita, dia nasihatkan saya agar sentiasa berikan keutamaan kepada keluarga. Kerja dan wang boleh dicari andai hilang tetapi apabila perginya ahli keluarga tersayang, dunia bagai tiada makna hidup seorang.

"I always walk passing this area when I feel really lonely. Just to hear the Imam recite Al-Quran and azan. I feel calm here. If I'm lucky, I got to meet a good Muslim who will give me food or money...or just to chit-chat with me”

“Allah is good. I never pray for him once but He always sends kind people to me. We meet here because of Him"

"When you hug me so tight, suddenly I feel like my son hugging me. I miss him so much!"

Airmata kami berjurai lagi dan saya memeluknya kembali. Seeratnya. Selama yang mampu. Selama yang dia mahu. Moga rindu Uncle pada anaknya itu terubat walau sedetik lalu.

Laungan azan Zohor memisahkan kami. Namun sebelum saya dan Uncle berpisah, sempat dia meminta nombor telefon saya. Dia berjanji jika dia sudah ada wang, dia mahu gantikan wang saya. Saya tuliskan nombor telefon saya pada sekeping kertas kerana dia tidak punya telefon, lalu saya berikan padanya sambil memberitahu wang itu memang untuknya belanjakan tanpa perlu diganti. Dia mengangguk dan airmatanya menitis kembali.

"Please pray to Allah for me. I can't do that in there so please do it for me"

Itulah pesan terakhir kepada saya sambil tangannya menunjukkan ke arah masjid, sebelum dia melangkah pergi…

*********************

Saya jarang sekali melintas laluan masjid ini. Hanya jika saya hendak ke rumah adik ipar, memang inilah laluan yang saya tempuhi. Dan setiap kali terpandang masjid ini, saya akan teringat kepada uncle itu. Dan setiap kali teringat pada uncle itu, hati saya rasa terganggu. Remuk, sedih, simpati dan rindu.

Saya dalam perjalanan pulang dari rumah adik ipar tengahari tadi, lalu saya singgah untuk solat zohor di masjid ini. Sengaja saya letakkan kereta di tempat yang sama waktu saya dan uncle bertemu dahulu. Usai sahaja solat zohor, diadakan majlis tahlil dan kemudiannya jemaah dijemput makan hidangan tengahari yang disediakan.

InsyaAllah, Uncle. Saya masih doakan Uncle. Dan hari ni saya kembali ke masjid ini, solat di sini dan berharap sangat dapat jumpa Uncle kembali. Dan saya harap jika kita bertemu lagi, Uncle sudah tidak lagi kelaparan dan sedih seperti dahulu.

Dalam kita sibuk memperjuangkan hak dan keistimewaan, ada kalanya kita terlupa kita semua ada persamaan.

Rasa perut yang lapar tidak makan, rasa risau apabila ahli keluarga jatuh sakit, rasa rindu pada orang yang telah pergi, rasa hidup kosong tanpa orang tersayang berada di sisi.

Kita semua merasakan yang sama. Itulah persamaan antara kita…

3 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua

Comentários


Post: Blog2_Post
bottom of page