top of page
Cari
Writer's pictureFaisal Abu Hassan

Hadiah Terbaik Untuk Keluarga


Kami bertemu lagi. Seperti kebiasaan, bertemu kerana saya berhenti singgah di sini untuk mengisi minyak dan solat. Topik yang kami bualkan kali ini berkaitan dengan Aidiladha dan kerja masing-masing.


Sewaktu kami sedang berbual, tiba-tiba telefon bimbit saya berbunyi. Bos hubungi saya. Saya berbual dengan bos agak lama. Usai menamatkan perbualan telefon itu saya kembali menyambung perbualan dengan Sadam.


Sadam bertanya siapa yang telefon. Saya jelas kan itu bos saya. Ada beberapa perkara yang dibincang dan diarahkan untuk dibuat pada hari esok.


Mendengar jawapan saya itu, Sadam pun berkata: Kamu orang Malaysia bekerja terlalu banyak. Tak pernah cukup. Sudah lebih 8 jam bekerja tetapi masih menjawab panggilan dari bos. Masih bincangkan hal kerja untuk esok. Mengapa tidak tunggu hingga esok sahaja?


Saya faham maksud dia. Namun kata-kata itu agak ironi pada saya memandangkan Sadam sendiri bekerja dalam tempoh waktu yang lama dan jarang bercuti. Kebanyakan masa dia dihabiskan untuk bekerja di sini.


Sadam menjelaskan kata-katanya. Orang Malaysia bekerja lebih 8 jam setiap hari. Walaupun sudah habis waktu bekerja, masih lagi bercakap tentang kerja. Malah hari minggu pun masih bercakap tentang kerja. Tak cukup dengan kerja tetap, dibuat pula kerja sampingan secara online dan sebagainya.


Majikan dia juga begitu. Dia sendiri merasa kasihan dengan bosnya yang bekerja terlalu keras; tidak setimpal dengan usia yang sudah lanjut.


Mengapa tidak dimanfaatkan masa selepas waktu kerja untuk keluarga sahaja?


Keadaan itu tidak boleh disamakan dengan dirinya. Dia kini bekerja di Malaysia, jauh dari ahli keluarga. Jadi setiap masa ditumpu untuk mencari rezeki agar dapat disampaikan buat keluarganya di Bangladesh. Dan katanya jika dia pulang ke kampung halaman, seluruh masa hanyalah untuk dimanfaatkan bersama keluarga.


Orang Malaysia tidak perlu berjauhan dari keluarga sepertinya. Jadi mengapa dihabiskan sepanjang masa hanya untuk kerja?


Dan dia bertanya kepada saya: Selama saya bekerja, pernahkah saya 'kehabisan' tugasan yang perlu dibuat? Kerja tidak akan pernah habis.


Jadi mengapa perlu habiskan keseluruhan masa untuk sesuatu yang tidak akan pernah habis?


Nasihat Sadam itu ada betulnya. Kita boleh beri pelbagai justifikasi mengapa kita bekerja terlalu kuat. Kita mahu sara keluarga, mahu berikan keselesaan buat keluarga. Mahu keluarkan keluarga kita dari kesempitan hidup. Mahu bahagiakan keluarga kita.


Namun rahsia utama untuk hidup bahagia dan selesa adalah dengan meluangkan masa bersama keluarga tersayang.


Terima kasih buat peringatan ini. Benar, tiada salahnya untuk kita bekerja lebih masa demi keluarga tersayang namun semua itu perlu seimbang.


"The best gift you can give to your family is your time"

0 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua

Kommentare


Post: Blog2_Post
bottom of page