Saya bukan bekas pelajar sekolah aliran agama, bukannya tahfiz. Saya tiada tauliah. Saya jahil. Andai yang saya tulis itu salah, tegurlah. Perbetulkan diri saya.
Niat saya hanya ingin 'bekerja' pada jalan Allah. Mengemis sedikit pahala dari tulisan dan catatan di mana-mana. Berharap agar 'kerja' ini diganjar sedikit pahala; andai catatan ini memberi manfaat kepada mereka yang membaca.
Kerana saya sedar yang suatu hari nanti saya akan menyertai mereka yang telah 'pergi'. Kita semua sebenarnya akan meyusul jua suatu hari nanti.
Saya akan tinggalkan isteri, anak-anak dan keluarga yang saya sayang. Saya akan tinggalkan rakan-rakan dan saudara mara. Saya akan tinggalkan harta, kerjaya dan kereta yang saya banggakan.
Yang akan berdamping dengan saya, yang akan membantu hanyalah amal sepanjang hayat.
Itupun terlalu sedikit jika dibanding dengan usia saya yang semakin meningkat.
Islamnya diri kita bukan hanya waktu kita mendirikan solat mengadap kiblat. Bukan hanya waktu berpuasa sebulan dibulan Ramadhan. Bukan hanya dalam masa dan waktu tertentu.
Islamnya diri kita adalah dalam setiap perbuatan. Dan dalam setiap perbuatan itu ada perintah Allah. Ada peluang usaha dakwah.
Baik dari percakapan, cara kita berpakaian, tingkah dan santun kita pada semua orang hatta dalam menulis di sinipun ada perintah Allah yang perlu dijaga.
Saya dipesan agar menulis yang baik-baik. Share perkara / post yang bermanfaat. Sebaiknya manfaat yang membantu hingga ke akhirat.
Andai ada tulisan saya yang menyinggung atau perasaan sesiapa, saya mohon ampun maaf seikhlas hati.
Selamat malam & Assalamualaikum wbt.
Comments