Zaman sekolah menengah dahulu saya gemar menulis cerpen terutama dari tahun 1996 hingga 1998; sewaktu bersekolah tingkatan satu hingga tiga di SMK Sungai Layar (SMKSL) Sungai Petani Kedah Darul Aman dahulu. Minat menulis cerpen hadir dari minat membaca. Antara karya yang memberi inspirasi dalam penulisan saya adalah Keruh Di Muara dan Camar Melayang Rendah.
Cerpen-cerpen tulisan saya sering diterbitkan dalam majalah sekolah waktu itu; Majalah Semarak. Antara yang pernah diterbitkan adalah Keranamu 'R', Cikgu Azri dan Alunan Kasih.
Alunan Kasih merupakan cerpen yang istimewa dan sangat peribadi pada saya. Mengapa saya pilih tajuknya Alunan Kasih, bukan Gelora Kasih? Apa beza alunan dan gelora?
***************************************************
Watak utama dalam cerpen ini adalah Syukor dan Tasya. Dua rakan sekerja yang jatuh cinta di pejabat. Tasya berani menyatakan cinta namun Syukor sebaliknya. Sengaja Syukor tidak endahkan cinta yang dihulur padahal dalam hatinya merasakan cinta yang sama. Sikap Syukor ini membuat Tasya bingung dan terseksa; mengapa hendak didusta andai kedua hati sudah sama suka?
Syukor merupakan seorang pekerja yang baik. Sikapnya senangi pelanggan, rakan dan majikan. Syarikat tempatnya bekerja merupakan milik ayah kepada Tasya yang merestui cinta anaknya kepada Syukor namun Syukor menolak penuh hormat. Ini menambah kemelut dalam hati Tasya; apakah dirinya tidak cukup baik untuk Syukor? Apalah dosanya pada Syukor hingga diperlakukan begini? Namun persoalan di hati Tasya itu ada jawapannya dan ayah Tasya sendiri sudah dapat meneka alasan mengapa Syukor menolak cinta anaknya itu…
***************************************************
Cerpen ini saya tulis selama seminggu dan sebelum dihantar kepada sidang editor Majalah Semarak, saya minta sahabat baik saya baca cerpen itu dan berikan ulasan. Setelah berpuas hati dengan ulasannya, barulah cerpen itu dihantar. Alhamdulillah, cerpen tersebut dipilih untuk diterbitkan akhirnya.
Kisah Alunan Kasih berlalu tanpa siapapun tahu kesudahannya. Biarpun jalan cerita tiada kena-mengena dengan sesiapa; hidup mahupun mati; namun nama kedua watak utama diambil dari dua insan ini. Dua sahabat yang sama kelas dengan saya di SMKSL dahulu, Mohd Shukor dan NorNatasha. Merekalah Syukor dan Tasya dalam cerpen Alunan Kasih saya itu.
Kisah cinta mereka berdua tidaklah sama seperti Syukor dan Tasya. Mereka berdua bahagia jalani hidup sebagai suami-isteri bersama tiga orang puteri kesayangan. Alhamdulillah. Semoga Allah berkati cinta mereka berdua hingga ke syurgaNya
コメント